Saturday, 25 September 2021

Hak guru enggan divaksin? KPM juga ada hak lindungi keselamatan murid - Radzi Jidin

Hak guru enggan divaksin? KPM juga ada hak lindungi keselamatan murid - Radzi Jidin

KUALA LUMPUR: Golongan guru harus memahami konteks perkhidmatan mereka yang berbeza dengan pekerjaan lain, sekali gus memerlukan mereka meletakkan kepentingan pelajar sebagai keutamaan.


Justeru, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin berkata, kerajaan sedang mencari pendekatan serta tindakan tegas bagi menangani isu guru yang enggan menerima vaksin.


"Kalau guru ada hak untuk tidak divaksin, kerajaan juga ada hak untuk memastikan anak-anak yang hadir ke sekolah nanti berada dalam keadaan selamat.


"Memang jumlah yang tidak mahu divaksin tidak ramai, tetapi kami dapat laporan ada kumpulan guru yang mengajar subjek sama, enggan divaksin.


"Kalau begini susahlah, siapa yang akan mengajar dan ini akan menyebabkan sesi pembelajaran terjejas.


"Kita sudah ambil langkah untuk tidak benarkan guru yang tidak divaksin mengajar secara bersemuka, tetapi dalam situasi macam ini, bagaimana pula?


"Sebab itu kena ada pendekatan lain dalam konteks perkhidmatan guru kerana kita tidak mahu pembelajaran terganggu," katanya ketika muncul dalam Agenda AWANI, malam ini.


Kementerian Pendidikan katanya, sedang meneliti tindakan yang boleh diambil dalam aspek pengoperasian sekolah, namun dalam masa yang sama, guru-guru terbabit juga tertakluk kepada tindakan di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).


"Kita sudah beri masa yang panjang untuk mereka ambil vaksin. Nasihat dan kauseling juga sudah diberi.


"Jika terpaksa... mungkin kita terpaksa membuat pertukaran bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar," tambahnya.


Media sebelum ini melaporkan kira-kira 2,500 daripada keseluruhan 400,000 guru di seluruh negara, enggan menerima vaksin.


Muat Turun Background Resolusi Tinggi (HD) : Tema Angkasa Lepas, Angkasawan, Roket

Muat Turun Background Resolusi Tinggi (HD) : Tema Angkasa Lepas, Angkasawan, Roket


Berikut dikongsikan 31 rekaan latar belakang yang menarik bertemakan roket, angkasawan, angkasa lepas yang beresolusi tinggi untuk dimuat turun. 


Template yang asalnya berformat vector ini telah ditukarkan menjadi format JPEG dalam resolusi tinggi, sesuai untuk penghasilan banner, poster, infografik, bahan pengajaran dan pembelajaran dan lain-lain. 


Template ini diperoleh daripada sumber percuma di Internet. Template akan dikemaskini setiap masa untuk produk-produk terbaharu. Muat turun ke semuanya di sini.



Friday, 24 September 2021

Muat Turun Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0

Muat Turun Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0


Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengeluarkan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 sebagai panduan untuk semua warga sekolah. 

 

Muat turun: 


Muat Turun Garis Panduan Permohonan Pertukaran Guru 2021

Muat Turun Garis Panduan Permohonan Pertukaran Guru 2021



Garis Panduan Permohonan Pertukaran Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di Sekolah dan Kolej Vokasional Kementerian Pendidikan Malaysia ini disediakan sebagai rujukan kepada Pengetua/Guru Besar dan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) yang berkhidmat di sekolah dan kolej vokasional di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). 


Garis panduan ini adalah untuk memastikan urusan pertukaran PPP dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan berkesan melalui Modul e-GTukar. 


Permohonan pertukaran oleh PPP melalui Modul e-GTukar telah mula dilaksanakan pada tahun 2008. Modul e-GTukar ini sentiasa ditambah baik berdasarkan kepada keperluan dan kepentingan semasa.


Garis panduan ini hendaklah dibaca bersama-sama dengan: 

  • Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [PU.(A).395/1993]; 
  • Pekeliling Perkhidmatan Bil. 3 Tahun 2004 Panduan Pertukaran Pegawai Awam bertarikh 26 April 2014; dan 
  • Garis Panduan Tindakan Ke Atas Sokongan Yang Diterima Daripada Pemimpin Kerajaan, Individu Berpengaruh Atau Mana-mana Orang Mengenai Sesuatu Urusan Kerajaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri, Malaysia bertarikh 8 Mac 2010.

Beri bonus, bukan bantuan RM500 - CUEPACS

Beri bonus, bukan bantuan RM500 - CUEPACS


IPOH - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan mempertimbangkan pemberian bonus kepada penjawat awam dalam Belanjawan 2022 yang akan diumumkan nanti.


Presidennya, Adnan Mat berkata, pemberian bonus itu sebagai penghargaan terhadap perkhidmatan mereka yang bertungkus lumus ketika pandemik Covid-19.


Menurutnya, pemberian itu juga amat wajar diberikan kerana lebih 10 tahun penjawat awam hanya menerima bantuan khas kewangan berjumlah RM500 pada setiap kali pembentangan belanjawan.


Kami juga perlukan penghargaan daripada kerajaan kerana telah memberikan perkhidmatan walaupun kerajaan berubah tiga kali dengan terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara.


Justeru, sebagai tanda penghargaan kepada penjawat awam, kami menuntut agar kerajaan juga memberikan pertimbangan yang luar biasa pada kali ini supaya memberi bonus dan bukan lagi bantuan khas kewangan, katanya kepada pemberita selepas hadir ke Program Sahsiah Murni Sempena Sambutan Kemerdekaan, Penubuhan Hari Malaysia dan Ulang Tahun AUEGCAS di Anjung AUEGCAS Perak di sini pada Khamis.


Adnan berkata, dalam masa sama, menjadi amalan setiap 10 tahun sejak tahun 1992, kerajaan memperkenalkan sistem baharu dalam perkhidmatan awam dan pada tahun 2022 ia perlu dilaksanakan sekali lagi.


Menurutnya, berikutan itu, kerajaan perlu memperuntukkan sejumlah wang dalam belanjawan kali ini bagi melaksanakan sebuah sistem saraan baharu kepada perkhidmatan awam yang lebih komprehensif dengan memberikan gaji lebih selesa dan perbelanjaan yang adil kepada penjawat awam.


Sementara itu, beliau turut meminta pertimbangan kerajaan berkaitan cuti kakitangan kerajaan yang tidak dapat dihabiskan kerana terpaksa bertugas menguruskan pandemik Covid-19.


Adnan berkata, pihaknya mengesyorkan agar cuti yang tidak dihabiskan tidak dilupuskan selepas tiga tahun malah hendaklah melangkaui lebih lima tahun sehingga penjawat awam itu mampu mengambil cuti.


Menurutnya, selain itu cuti berkenaan juga diharap boleh dibayar secara token dengan mengambil contoh Singapura yang membayar cuti penjawat awam bagi tempoh yang tidak boleh dihabiskan.


Beliau berkata, Cuepacs juga memohon kerajaan supaya cuti boleh ditambah dalam gantian cuti rehat melebihi aturan biasa iaitu 15 hari.


Kami telah berjumpa dengan petugas dan antara permohonan mereka untuk Cuepacs suarakan kepada kerajaan ialah mengenai cuti-cuti yang tidak dapat dihabiskan.


Cuti tahunan telah dibekukan atau telah diarah untuk tidak diambil atau tidak dibenarkan mengambil cuti, malah diarah bertugas sepanjang masa, malah ada yang bekerja sehingga tujuh hari seminggu.


Ini adalah sesuatu yang luar biasa oleh kerana pandemik ini sesuatu yang luar biasa, maka kami mohon kepada kerajaan untuk memberi pertimbangan pada kadar luar biasa kepada anggota yang berkhidmat di barisan hadapan dan barisan paling belakang berkaitan cuti ini, katanya.


Dalam pada itu, Adnan menggesa kerajaan melaksanakan segala pengumuman yang dibuat oleh kerajaan sejak tahun 2018 kepada penjawat awam antaranya pemberian KGT pada seluruh penjawat awam dan juga KUP kali kedua iaitu dari 13 tahun kepada 10 tahun dan mewujudkan Gred DG56.


Katanya, begitu juga pengumuman kerajaan pada Bajet 2020 tahun lalu iaitu gantian cuti rehat boleh ditebus dengan wang tunai sebanyak 75 hari yang masih belum dilaksanakan.


Thursday, 23 September 2021

KPM tidak halang murid enggan divaksin hadir ke sekolah

KPM tidak halang murid enggan divaksin hadir ke sekolah

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan menghalang pelajar yang tidak mengambil vaksin COVID-19 daripada hadir di sekolah apabila sesi persekolahan secara bersemuka dilaksanakan nanti.


Timbalan Menteri Pendidikan I Datuk Dr Mah Hang Soon berkata beliau tidak menolak kemungkinan ada pelajar yang menolak vaksin itu tetapi hanya sebilangan kecil kerana ibu bapa yang tidak bersedia untuk membenarkan anak-anak mereka mendapatkan suntikan vaksin.


"Seseorang pelajar itu ada hak (untuk belajar dan datang ke sekolah). Tiada sebab untuk KPM menghalang mereka kembali ke sekolah (tanpa vaksin). Kaunseling akan diberikan khususnya kepada ibu bapa kerana bukan pelajar yang enggan menerima vaksin tetapi ibu bapa yang tolak," katanya pada sidang media khas Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja bersama Timbalan Menteri Kesihatan I Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, di sini hari ini.


Beliau berkata KPM melalui pejabat pendidikan daerah (PPD) telah mengeluarkan arahan kepada sekolah di seluruh negara supaya pemberian janji temu bagi PICK Remaja dapat dipercepatkan untuk memastikan kejayaannya.


Katanya pelbagai kaedah akan diambil KPM untuk memberi penerangan kepada ibu bapa tentang keperluan vaksin supaya mereka bersedia demi keselamatan serta melindungi anak-anak mereka daripada jangkitan serius COVID-19.


"KPM bersedia mengadakan hebahan membantu ibu bapa dan sekolah mencapai matlamat. KPM merancang untuk menghantar pelbagai bahan hebahan untuk membantu ibu bapa menerima maklumat yang betul supaya bersetuju membenarkan anak-anak menerima vaksin," katanya.


Sementara itu, Dr Mah berkata prinsip yang dipegang kementerian itu adalah memastikan seramai mungkin pelajar menerima vaksin COVID-19 menerusi PICK Remaja dalam masa terdekat.


Beliau berkata prinsip itu adalah seiring dengan pembukaan sekolah secara berperingkat bermula pada 3 Okt ini khususnya pelajar yang bakal menduduki peperiksaan. "KPM tidak memilih jurusan mana atau kumpulan mana tetapi lebih kepada pembukaan sekolah khusus Tingkatan 6 atau pelajar yang perlu kembali ke sekolah untuk membuat persediaan peperiksaan," katanya.


-- BERNAMA


Wednesday, 22 September 2021

Kurangkan dan beri tumpuan subjek teras sahaja untuk PdPR

Kurangkan dan beri tumpuan subjek teras sahaja untuk PdPR

Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) seharusnya diberi keutamaan kepada subjek teras bagi mengurangkan stres kepada murid dan guru.


Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan & Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia, Anuar Ahmad, berkata PdPR yang lebih fleksibel semasa pandemik ini seharusnya mengurangkan bilangan subjek tertentu yang tidak penting bagi mengurangkan stres kepada kedua-dua pihak ini.


“Beberapa negara seperti England sudah menggugurkan bilangan mata pelajaran semasa pandemik ini dengan memberi keutamaan kepada subjek yang dianggap teras dan tidak boleh ditinggalkan sahaja.


“Bukan bermaksud subjek lain itu tidak penting tetapi buat masa sekarang kita harus ada keutamaan.


“Misalnya, subjek Bahasa Melayu dan English adalah subjek teras dan memerlukan masa yang panjang untuk dikuasai, jadi ia tidak boleh digugurkan,” katanya ketika ditemu bual secara dalam talian dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk “PdPR 2.0 – Solusi di Luar Kotak”, malam tadi.


Pensyarah Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan, Universiti Malaysia Terengganu Dr Abdul Mutalib Embong pula berkata, PdPR secara “off-site” di sekolah rendah luar bandar bagi murid miskin perlu ditambah baik dengan sukatan pembelajaran mengikut tahap keupayaan semasa murid bagi memastikan mereka tidak tercicir.


Katanya, PdPR secara “off-site” kebanyakan guru akan menyediakan modul sesuatu pelajaran kepada murid namun tiada bimbingan daripada guru berkenaan.


“Ini pula ditambah dengan ibu bapa yang datang daripada golongan kurang bernasib baik dari segi pengetahuan untuk menolong anak mereka. Jadi modul pembelajaran itu boleh direndahkan.


“Contohnya, walaupun objektif untuk Tahun 3 adalah mengikuti pembelajaran Tahun 3 tidak tercapai tapi saya rasa lebih bermanfaat mereka dibekalkan modul pembelajaran Tahun 2, dan sekiranya ada peningkatan, murid


Tahun 3 ini boleh dibekalkan modul yang lebih mencabar atau setarafnya,” katanya.


Abdul Mutalib berkata, langkah itu penting kerana ramai murid di Tahun 2 dan 3 di sekolah luar bandar masih tidak mampu untuk menguasai asas pembelajaran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira kerana banyak masa mereka tidak berada di sekolah sejak pandemik COVID-19 menular pada tahun lepas.


Pada masa sama, Abdul Mutalib turut mencadangkan supaya dilakukan penjadualan semula guru yang mengajar bukan subjek teras seperti guru muzik dan pendidkan jasmani untuk membantu guru lain yang mempunyai ramai murid.


“Kita tidak boleh nafikan satu-satu kelas, guru dibebani dengan 30 hingga 40 murid, jadi apabila PdPR berjalan, guru lagi terbeban apabila murid bertanya soalan dengan masa yang terhad.


Jadi, mungkin sebahagian murid daripada kelas itu dipecahkan kepada kumpulan lain dan dipantau oleh guru lain bukan teras,” katanya. – BERNAMA


Menteri Pendidikan perjelas mengapa autonomi tidak mudah diberikan kepada sekolah atau PPD

Menteri Pendidikan perjelas mengapa autonomi tidak mudah diberikan kepada sekolah atau PPD

22 September - Ketika sesi penggulungan Titah Diraja Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 bagi KPM, terdapat 43 pertanyaan yang dibangkitkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat semasa perbahasan.


Antara yang menarik perhatian adalah pertanyaan daripada MP Simpang Renggam, YB Maszlee Malik. Beliau membangkitkan isu pelaporan guru yang bertindan dan juga autonomi seharusnya diberikan kepada pihak sekolah untuk membuat apa-apa keputusan berkaitan pengoperasian sekolah.


Menjawab kepada pertanyaan tersebut, Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin menjelaskan bahawa guru telah diberi kuasa menentukan bagaimana kaedah yang terbaik untuk mereka melaksanakan PdPR. Kaedah itu juga bergantung kepada kesediaan dan keadaan semasa murid.


"Bercakap memang nampak mudah, tetapi apa yang Klang bangkitkan sebentar tadi menunjukkan bagaimana PPD membuat keputusan yang berbeza daripada keputusan kami di kementerian.


"Sebab itu kita kata melihat kepada sistem persekolahan yang ada pada hari ini, maka autonomi itu bukanlah satu pendekatan yang sesuai," katanya.


Beliau merujuk kepada MP Klang yang membangkitkan isu murid dikenakan bayaran RM1,600 untuk program vaksinasi murid oleh PPD daerah tersebut.


Beliau menjelaskan bahawa telah mengambil tindakan dengan meminta PPD berkenaan membatalkan apa sahaja keputusan yang melibatkan bayaran kepada murid. 


"Sebab itu kita perlu teliti dalam konteks autonomi ini, kerana jaringan kita melibatkan 10 ribu buah sekolah dipelbagai kawasan dengan pelbagai latar belakang," katanya.


JPA akan tentukan nasib guru yang enggan divaksin - Dr Radzi

JPA akan tentukan nasib guru yang enggan divaksin - Dr Radzi


KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan menyediakan kit ujian pantas (RTK-Antigen) menggunakan air liur di semua sekolah di seluruh negara.


Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata kit ujian kendiri itu akan disediakan di sekolah berasrama penuh, sekolah asrama harian dan sekolah harian.


"Bagi sekolah berasrama penuh, ujian saringan akan dilaksanakan tiga kali iaitu ketika pendaftaran, hari keenam dan hari ke-14.


"Bagi sekolah asrama harian, ujian saringan akan dilaksanakan ketika pendaftaran masuk manakala bagi sekolah harian ia sebagai persediaan kalau diperlukan," katanya pada sesi penggulungan perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat, hari ini.


Menyentuh isu sama ada 2,100 guru dilaporkan enggan divaksin akan diambil tindakan, beliau berkata, ia bergantung kepada ketetapan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).


Walaupun guru yang enggan divaksin tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka, katanya, mereka akan diberi tugas lain berdasarkan keadaan semasa sekolah.


"Guru adalah sebahagian daripada penjawat awam dan kita akan ikut pedoman diberikan JPA, bergantung kepada apa yang ditetapkan JPA," katanya.


Kurangkan subjek di sekolah rendah gesa pensyarah

Kurangkan subjek di sekolah rendah gesa pensyarah

21 September - Malaysia patut capai sasaran 21 orang murid untuk seorang guru seperti mana disarankan oleh UNESCO dan OECD.


Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia UKM, Dr Anuar Ahmad sebelum ini berkata, bilangan subjek sekolah rendah patut dikurangkan atau dijajarkan semula.


"Guru-guru yang subjek mereka sudah dimansuhkan akan mula mengajar subjek yang dikekalkan. Boleh buat latihan semula secara 'in house'.


"Selepas itu pecahkan bilangan murid setiap kelas.


"Bilangan murid-murid dalam satu kelas dapat dikurangkan. Jumlah guru masih kekal sama," katanya.


Menurut beliau, banyak negara sudah lama mencapai bisbah 21 murid kepada seorang guru dan murid-muridnya dapat belajar dengan selesa dan gembira.


"Malaysia patut capai sasaran 21 murid bagi setiap kelas seperti yang dianjurkan oleh badan pendidikan dunia UNESCO dan OECD.


"Sampai bila kita sanggup lihat anak-anak kita yang masih kecil bersesak-sesak belajar di dalam kelas selama 5 jam sehari?" soalnya.


JPA kemuka cadangan tindakan terhadap penjawat awam enggan divaksin kepada MKN

JPA kemuka cadangan tindakan terhadap penjawat awam enggan divaksin kepada MKN



PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan mengemukakan cadangan berhubung tindakan yang boleh diambil terhadap penjawat awam yang enggan mengambil suntikan vaksin COVID-19 kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).


JPA dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan beberapa pilihan tindakan dan pendekatan telah dibawa kepada MKN untuk diputuskan termasuk cadangan arahan mewajibkan semua penjawat awam mengambil vaksin kecuali mereka yang mempunyai alasan kukuh untuk pengecualian atas faktor kesihatan.


Kenyataan itu menyebut sehingga kini, jumlah peratusan penjawat awam yang mengambil vaksin COVID-19 telah mencapai hampir 98 peratus berbanding kelompok kecil yang belum berbuat demikian.


"Perkara ini perlu diberikan keutamaan bagi memberi keyakinan dan jaminan untuk orang ramai datang berurusan dengan penjawat awam di premis kerajaan," menurut kenyataan itu.


Menurut JPA, usaha vaksinasi perlu diberi keutamaan untuk mengembalikan perkhidmatan kerajaan pada tahap pengoperasian penuh berdasarkan fasa Pelan Pemulihan Negara.


Pada 4 Sept lepas, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepas) Adnan Mat mencadangkan kerajaan mengeluarkan pekeliling khusus mengenai penjawat awam yang masih tidak mengambil vaksin COVID-19 dengan menjelaskan tindakan dan pendekatan yang perlu dilakukan kepada golongan itu dalam isu pengambilan vaksin.


Menurut JPA, ia berpandangan beberapa langkah boleh diambil oleh kementerian atau jabatan masing-masing berdasarkan peraturan sedia ada bagi memastikan penjawat awam secara keseluruhannya mengambil vaksin.


Katanya secara dasar, penjawat awam adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993] dan mereka perlu mematuhi peraturan sedia ada termasuk dalam urusan kehadiran bertugas di pejabat apabila diarahkan oleh ketua jabatan.


"Kita hendaklah melindungi diri kita sebelum kita mahu melindungi orang lain. #lindungdiri,lindungsemua!" kata JPA.


-- BERNAMA


Tuesday, 21 September 2021

PARLIMEN: 'Kurang interaksi buatkan murid tertekan jalani PdPR'

PARLIMEN: 'Kurang interaksi buatkan murid tertekan jalani PdPR'

Imej hiasan


KUALA LUMPUR: Lebih separuh atau 51.2 peratus daripada 52,413 murid sekolah di negara ini, mengakui tertekan dengan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sepanjang tempoh pandemik COVID-19.


Angka itu diperoleh Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi kajian keberkesanan pelaksanaan PdPR secara dalam talian yang dilaksanakan antara Mac hingga Julai tahun lalu.


Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata daripada dapatan itu, 48.9 peratus murid memberi alasan interaksi yang dengan guru sebagai punca tekanan, manakala 55 peratus responden berasa tertekan berikutan interaksi terhad dengan rakan.


"Sebanyak 53.4 peratus murid tertekan kerana kurang bimbingan dalam sesi pembelajaran manakala 34.1 peratus menyatakan hasil pembelajaran di rumah tidak seperti yang diperoleh di sekolah," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, di sini.


Beliau menjawab soalan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) yang meminta kerajaan menyatakan pencapaian sistem PdPR sepanjang tempoh pandemik COVID-19.


Selain 52,413 responden membabitkan murid, kajian turut disertai 13,156 pentadbir sekolah, 39,967 guru dan 59,624 ibu bapa atau penjaga.


Radzi berkata, kajian yang memfokuskan kepada PdPR ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut menunjukkan 49.7 peratus murid berasa seronok mengikuti PdPR.


Katanya, sebilangan murid menganggap PdPR sebagai pengalaman baharu dengan 56.6 peratus murid membabitkan diri secara aktif ketika sesi pembelajaran di rumah.


Katanya, sejumlah 57.5 peratus murid dapat menyiapkan tugasan atau latihan diberi guru dalam masa ditetapkan.


"Dapatan menunjukkan 36 peratus murid boleh belajar sendiri menggunakan bahan pembelajaran di rumah dalam tempoh PKP," katanya.


Radzi berkata, sejumlah 66 peratus ibu bapa yang terbabit dalam kajian itu bersetuju PdPR berkesan untuk pembelajaran anak mereka manakala 38.5 peratus ibu bapa atau penjaga mengakui anak mereka seronok mengikuti pembelajaran ketika PKP.


Dalam kajian berasingan membabitkan 500 sekolah pada suku tahun ini membabitkan 1,053 pemerhatian, Radzi berkata, 98.7 peratus guru dapat mengelola isi pelajaran yang diajar mengikut peruntukan masa ditetapkan.


Katanya, hasil tinjauan mendapati murid memberi respon positif terhadap tugasan diberi guru dalam 97.5 peratus PdPR yang diperhatikan.


"Data pelaporan bermula 20 Januari hingga 30 Ogos lalu menunjukkan peratusan murid mengikuti PdPR meningkat, iaitu pertambahan 12.1 peratus bagi murid sekolah rendah daripada 87.1 peratus kepada 99.2 peratus.


"Pembabitan murid sekolah menengah meningkat 19.3 peratus daripada 78 peratus kepada 97.3 peratus," katanya.


Beliau berkata, dapatan kajian menyimpulkan pelaksanaan PdPR berhadapan pelbagai cabaran dan kekangan pada peringkat awal tetapi intervensi KPM berjaya membantu murid mengikuti PdPR dengan lebih baik.


Pelajar tidak divaksin mungkin tidak dibenar belajar bersemuka

Pelajar tidak divaksin mungkin tidak dibenar belajar bersemuka

KUALA LUMPUR: Pelajar sekolah yang tidak mendapat kebenaran ibu bapa untuk menerima suntikan vaksin COVID-19, mungkin tidak dapat menjalani sesi persekolahan 2022 secara bersemuka.


Itu antara perkara yang sedang diteliti Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan bagi menilai langkah yang sesuai untuk pelajar sekolah yang enggan atau tidak mendapat kebenaran ibu bapa untuk menerima vaksin berkenaan.


Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata buat masa ini, pihak sekolah akan berusaha memujuk ibu bapa dan pelajar jika ada antara mereka enggan divaksin.


"Ini sama seperti isu membabitkan 2,500 guru yang enggan menerima vaksin COVID-19 dan tidak dibenarkan melaksanakan pengajaran secara bersemuka.


"Bagaimanapun, perkara ini masih di peringkat perbincangan. Kita akan mencari penyelesaian terbaik supaya proses pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dalam keadaan selamat," katanya kepada BH.


Semalam, Dr Noor Azmi dilaporkan berkata, program vaksinasi terhadap kumpulan remaja berusia 12 tahun hingga 17 tahun di negara ini, khususnya pelajar sekolah, akan bermula Isnin ini.


Pengerusi Pasukan Bertindak Imunisasi COVID-19 Remaja (CITF-A) itu berkata, proses vaksinasi akan dilaksanakan di premis masing-masing bagi sekolah yang mempunyai lebih 1,000 pelajar.


Sekolah yang mempunyai kurang 1,000 pelajar, khususnya sekolah luar bandar pula akan disatukan dan menerima vaksin bersama empat atau lima sekolah lain, dalam usaha memastikan 80 peratus kadar vaksinasi remaja dapat diselesaikan sebelum sesi persekolahan 2022.


Ditanya mengenai sasaran vaksinasi harian remaja bagi membolehkan semua pelajar selesai divaksin menjelang pembukaan sekolah pada Mac tahun depan, Dr Noor Azmi berkata, belum ada sebarang sasaran ditetapkan buat masa ini.


"Buat masa ini belum ada sasaran jumlah vaksinasi sehari kerana kapasiti bergantung pada jenis sekolah serta kumpulan pelajar yang menerima suntikan," katanya.


Hanya vaksin Comirnaty keluaran Pfizer Bio-NTech mendapat kelulusan berstatus pendaftaran bersyarat oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), sementara Sinovac sedang menunggu kelulusan.


Ketika ini, program imunisasi COVID-19 kepada golongan remaja sudah bermula di Sarawak sejak 8 September lalu, didahului remaja berusia 16 tahun dan 17 tahun serta 12 tahun hingga 15 tahun yang berisiko tinggi atau mempunyai penyakit kronik.


Sebelum ini, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, dilaporkan berkata sesi persekolahan 2022 hanya akan bermula pada Mac, berikutan sesi tahun ini dilanjutkan sehingga Februari tahun depan.


Awal bulan ini, Radzi dilaporkan berkata, 2,500 guru yang enggan menerima vaksin COVID-19 tidak akan dibenarkan mengajar secara bersemuka apabila sesi persekolahan dibuka pada 3 Oktober nanti.


Radzi berkata, guru yang enggan divaksin tanpa alasan kesihatan akan ditempatkan di kawasan khas di sekolah apabila sesi persekolahan secara bersemuka dibuka.


Kementerian Pendidikan (KPM) juga sedang meneliti jenis tindakan susulan akan dikenakan ke atas kumpulan guru terbabit, menerusi konteks peraturan dan tatacara perkhidmatan awam.


PdPR: Beri tumpuan juga kepada psikologi, masalah keciciran murid

PdPR: Beri tumpuan juga kepada psikologi, masalah keciciran murid

Imej hiasan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) digesa meneliti isu keciciran murid dalam pembelajaran termasuk kebajikan mereka walaupun perlu menumpukan urusan pembukaan semula sekolah, Oktober ini.


Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, berkata KPM perlu melakukan persiapan inklusif termasuk mengambil kira nasib 1.85 juta murid yang tidak dapat meneruskan pembelajaran dalam talian kerana tiada peranti.


"Kekurangan atau kekangan dihadapi 1.85 juta murid itu mendorong kepada hilang motivasi dan keciciran pembelajaran.


"Keadaan itu menyebabkan wujud jurang pembelajaran antara murid di negara ini semakin meningkat terutama dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah," katanya, hari ini.


Anuar berkata, sebahagian kecil murid dibantu guru dengan memberi nota tetapi ada sesetengah murid tidak dapat meneruskan pembelajaran secara berkesan melalui Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).


Beliau berkata, KPM pada asasnya sedar isu keciciran pembelajaran murid terbabit dengan mengumumkan Januari hingga Mac 2022 adalah untuk mengisi program intervensi keciciran pembelajaran.


"Cuma sehingga kini, kita masih belum jelas apakah bentuk intervensi akan dilakukan. Adakah secara berpusat atau diserahkan kepada Pejabat Pendidikan daerah (PPD) dan sekolah untuk mengatur program intervensi ini.


"Sebaiknya KPM perlu menyediakan garis panduan jelas dan senarai Indeks Prestasi Utama (KPI) intervensi untuk PPD dan sekolah membangunkan program itu mengikuti keperluan lokaliti masing-masing," katanya.


Mengulas mengenai isu kebajikan murid, beliau berkata selepas hampir dua tahun dilanda pandemik, banyak pengalaman buruk dilalui mereka termasuk kehilangan ahli keluarga seperti ibu bapa dan adik-beradik akibat COVID-19.


"Ada ramai ibu bapa kehilangan pekerjaan. Kes kesihatan mental, kemurungan dan tekanan emosi dalam kalangan kanak-kanak serta remaja meningkat berkali ganda sepanjang tempoh pandemik.


"Pengumuman pembukaan sekolah bukan hanya fokuskan kepada soal menguruskan akademik semata-mata. Sepatutnya pembukaan sekolah juga memberikan keutamaan juga kepada isu kebajikan dan kesejahteraan murid.


"Penting untuk sekolah memulihkan kembali psikologi murid dan motivasi pembelajaran mereka sebelum memulakan sesi pembelajaran," katanya.


Muat Turun Background Resolusi Tinggi (HD) : Tema Sistem Planet, Sistem Suria

Muat Turun Background Resolusi Tinggi (HD) : Tema Sistem Planet, Sistem Suria



Berikut dikongsikan 41 rekaan latar belakang yang menarik bertemakan sistem planet dan sistem suria yang beresolusi tinggi untuk dimuat turun. 


Template yang asalnya berformat vector ini telah ditukarkan menjadi format JPEG dalam resolusi tinggi, sesuai untuk penghasilan banner, poster, infografik, bahan pengajaran dan pembelajaran dan lain-lain. 


Template ini diperoleh daripada sumber percuma di Internet. Template akan dikemaskini setiap masa untuk produk-produk terbaharu. Muat turun ke semuanya di sini.



Keberkesanan pelaksanaan PdPR di tahap sederhana - KPM

Keberkesanan pelaksanaan PdPR di tahap sederhana - KPM


KUALA LUMPUR - Tahap keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dalam kalangan murid dan pelajar sekolah adalah pada tahap sederhana, menurut Kementerian Pendidikan (KPM).


Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin, kementerian itu memaklumkan bahawa dapatan itu diperoleh hasil Kajian Keberkesanan Pelaksanaan Home-based Learning yang dibuat secara dalam talian yang memberi tumpuan kepada PdPR semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Skop kajian meliputi aspek pelaksanaan PdPR dalam tempoh Mac hingga Julai tahun lepas merangkumi pendekatan, kaedah, strategi, aplikasi dan peralatan yang digunakan, selain penjadualan PdPR, penyusunan semula Rancangan Pelajaran Tahunan (RPT) dan pentaksiran yang melibatkan 13,156 pentadbir sekolah; 39,967 guru; 52,413 murid; dan 59,624 ibu bapa/penjaga.


“Dapatan kajian menunjukkan penglibatan murid di bandar dalam PdPR secara dalam talian adalah 59.3 peratus berbanding 51.4 peratus murid di luar bandar.


Bagi RPT pula 46.2 peratus guru di bandar mencapai sasaran pelaksanaan berbanding dengan 39.1 peratus guru di luar bandar.


“51.2 peratus murid berasa tertekan semasa pembelajaran di rumah... daripada kumpulan itu 48.9 peratus murid menyatakan tertekan kerana interaksi yang terhad dengan guru, manakala 55.0 peratus murid tertekan disebabkan interaksi terhad dengan rakan-rakan dan 53.4 peratus pula tertekan disebabkan kurang bimbingan dalam sesi pembelajaran,” katanya dalam jawapan yang disiarkan di laman web Parlimen Malaysia pada Isnin.


Jawapan oleh KPM itu merujuk kepada soalan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) yang meminta Menteri Kanan Pendidikan menyatakan pencapaian sistem PdPR sepanjang tempoh Pandemik Covid-19 dari segi penerimaan dan pencapaian pelajar, aduan guru dan maklum balas ibu bapa.


Menurut kementerian itu, 56.6 peratus murid berjaya melibatkan diri secara aktif dalam sesi PdPR, manakala 66 peratus ibu bapa atau penjaga bersetuju kaedah PdPR berkesan untuk pembelajaran anak mereka.


Monday, 20 September 2021

KPM sudah kenal pasti sekolah seluruh negara untuk jadi PPV

KPM sudah kenal pasti sekolah seluruh negara untuk jadi PPV


Putrajaya: Kementerian Pendidikan (KPM) akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) bagi membantu pendaftaran murid sekolah bagi tujuan vaksinasi Covid-19.


Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata, pihaknya juga mengenal pasti sekolah di seluruh negara untuk dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) kepada murid sekolah.


"KPM turut membantu dalam menyediakan petugas dan keperluan logistik untuk tujuan ini.


"Kerjasama strategik KPM dan KKM ini pastinya dapat mempercepatkan pelaksanaan vaksinasi kepada murid sekolah. KPM komited melakukan yang terbaik," katanya tadi.


Radzi sebelum itu menghadiri pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di SMK Presint 8 (1) di sini, dan turut melihat sendiri pelaksanaan program berkenaan.


Turut hadir, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, yang juga Pengerusi Pasukan Bertindak Imunisasi covid-19 Remaja (CITF-A).


Radzi berkata, seramai 323 murid berusia 16 dan 17 tahun dari SMK Putrajaya Presint 8 (1) menjadi kumpulan pertama menerima vaksin Covid-19, selepas pelancaran program PICK Remaja berkenaan secara rasmi.


Katanya, secara keseluruhan, seramai 377,591 murid berusia 16 tahun dan 371,676 murid berusia 17 tahun di seluruh negara.


"Alhamdulillah, proses vaksinasi pagi ini berlangsung dengan teratur dan tersusun.


"Sejurus tiba, murid yang ditemani ibu bapa atau penjaga perlu mendaftar, diambil suhu badan, diikuti sesi kaunseling dan persetujuan sebelum dibenarkan menerima suntikan vaksin," katanya.


PICK Remaja menyasarkan 60 peratus daripada 3.2 juta remaja berusia 12 sehingga 17 tahun menerima sekurang-kurangnya satu dos pada November ini dan 80 peratus menerima dos lengkap pada Januari," katanya.


SOP gangguan seksual KPM sudah tidak relevan - Maszlee

SOP gangguan seksual KPM sudah tidak relevan - Maszlee

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mengambil tindakan segera dan campur tangan bagi mengatasi masalah gangguan seksual di sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT).


Ahli Parlimen Simpang Renggam (Bebas), Maszlee Malik berkata, ini kerana kes gangguan seksual dalam kalangan murid dan pelajar tidak boleh dipandang ringan.


Justeru, bekas Menteri Pendidikan itu turut menyokong agar Rang Undang-Undang Akta Gangguan Seksual dibentangkan dan diluluskan segera.


"Saya dimaklumkan semenjak 2011, Kementerian Pendidikan (KPM) telah mempunyai prosedur operasi standard (SOP) - Pelaporan dan tindakan menangani displin murid beserta garis panduan menangani gangguan seksual murid.


"Namun, kedua-dua SOP ini tidak lagi sesuai dengan perkembangan semasa sebab itu pada 13 Disember 2019, KPM, telah melakukan satu inisiatif dan meluluskan satu memo untuk kita membuat garis panduan yang baharu selari dengan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017.


"Saya juga menyokong RUU Akta Gangguan Seksual segera dibentangkan dan diluluskan.


Bersama kita jadikan sekolah sebagai tempat yang selamat untuk semua," katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14, hari ini.


Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat.


563 guru di Johor masih enggan untuk divaksin

563 guru di Johor masih enggan untuk divaksin

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan
dan Budaya Johor, Mazlan Bujang, meninjau
Program Imunisasi Kebangsaan Bagi Vaksinasi
Pelajar Sekolah Negeri Johor di
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)
Taman Daya,di sini, hari ini.
NSTP/ Ihsan EXCO

JOHOR BAHRU: Seramai 563 guru di negeri ini, masih menolak untuk divaksin dengan alasan termasuk faktor kesihatan.


Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang, berkata seramai 200 guru lagi yang enggan divaksin, tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan masih enggan berbuat demikian walaupun sudah dinasihatkan.


Katanya, kebanyakan mereka yang enggan divaksin adalah guru wanita termasuk sedang hamil dengan kebimbangan utama, suntikan vaksinasi akan menjejaskan kandungan serta kesihatan mereka.


"Ada guru wanita yang hamil bimbang suntikan itu akan memberi kesan dan kita tidak paksa mereka. Namun, guru wanita berkenaan berjanji untuk mengambil suntikan vaksin selepas bersalin sekali gus menegaskan bukan antivaksin.


"Daripada jumlah 563 itu, seramai 200 guru lagi yang enggan divaksin tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan namun masih enggan berbuat demikian," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau Program Imunisasi Kebangsaan Bagi Vaksinasi Pelajar Sekolah Negeri Johor di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Daya, di sini, hari ini.


Bulan lalu, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) mendedahkan seramai 779 guru di Johor menolak untuk divaksinasi.


Susulan itu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim dilaporkan mengadakan pertemuan dengan mereka bagi mencari penyelesaian isu itu di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan di sini, pada 27 Ogos lalu.


Sementara itu, Mazlan berkata, bagi 200 guru itu yang masih ingkar dan menolak untuk divaksin, pihaknya menyerahkan perkara berkenaan kepada Kementerian Pendidikan untuk mengambil tindakan lanjut.


Namun katanya, pendekatan berhemah dengan memberi penjelasan dan penerangan berkenaan vaksinasi akan terus dilakukan dalam usaha memberi kefahaman yang jelas kepada mereka.


Beliau berkata, jumlah keseluruhan guru yang enggan divaksin itu amat kecil iaitu kira-kira satu peratus daripada 48,000 guru yang terdapat di Johor.


Dalam pada itu, beliau menjunjung kasih dengan keprihatinan Tunku Mahkota Johor yang sanggup bertemu guru yang enggan divaksin itu.


"Kita lihat selepas perjumpaan Tunku Ismail jumlah guru menolak vaksin berkurangan dan perjumpaan ini menampakkan kesannya.


"Tunku Ismail semasa pertemuan itu berkongsi pengalaman, suasana (mengambil vaksin) dan memberitahu persepsi dan pendapat baginda sendiri," katanya.


Sunday, 19 September 2021

PAGE saran guru enggan divaksin ditawarkan VSS

PAGE saran guru enggan divaksin ditawarkan VSS

Ketika negara berdepan krisis dan situasi yang belum pernah berlaku, kata Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Bagi Pendidikan (Page), kerajaan wajar mengambil keputusan sukar semasa menguruskan guru yang menolak vaksin Covid-19 tanpa alasan munasabah.


Justeru kata Pengerusi Page, Noor Azimah Abdul Rahim, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) wajar memberi pertimbangan untuk menawarkan skim pemisahan sukarela (VSS) untuk guru-guru terbabit.


"Keputusan yang paling sukar perlu diambil dalam situasi pandemik yang sebelum ini belum pernah berlaku," katanya kepada Malaysiakini.


Selain itu di pihak guru pula kata Noor Azimah jika mereka memang sengaja enggan disuntik vaksin dan bukannya akibat kekangan kesihatan, berundur secara sukarela adalah langkah yang terbaik.


Atau, katanya, KPM perlu menasihati guru berkenaan agar bersara secara terhormat.


Noor Azimah berkata demikian semasa mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Mohd Radzi Jidin, mengenai segelintir guru yang enggan divaksin dan bakal berdepan tindakan tatatertib.


Mohd Radzi baru-baru ini dilaporkan berkata lebih 2,500 guru memilih untuk tidak menerima suntikan vaksin Covid-19.


Ekoran daripada itu, Mohd Radzi berkata guru-guru yang enggan mengambil suntikan vaksin akan diasingkan daripada sesi pembelajaran di sekolah selain bakal diambil tindakan.


Bagaimanapun, Mohd Radzi berkata pihaknya bersama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam sedang meneliti tindakan yang boleh diambil terhadap guru-guru tersebut.


Mengulas lanjut, Noor Azimah berkata guru-guru terbabit sebenarnya tidak perlu bimbang dengan pilihan yang ada kerana selain sekolah, masih ada sumber mata pencarian lain yang menguntungkan buat mereka.


"Ada mata pencarian lain yang menguntungkan (lucrative), seperti memberi tuisyen secara dalam talian yang boleh diteroka," katanya.