Friday, 29 May 2020

Buka sekolah: NUTP cadang sistem penggiliran dilaksanakan

Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mencadangkan sistem penggiliran dilaksanakan jika sekolah dibuka semula selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berakhir.

Setiausaha Agungnya, Harry Tan Huat Hock, berkata antara yang boleh dilaksanakan Kementerian Pendidikan adalah penggiliran tiga hari pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah dan bakinya secara dalam talian di rumah.

"Pecahan pelajar bagi satu kelas pula adalah antara 10 hingga 15 orang mengikut saiz kelas dan melaksanakan kelas secara penggiliran.

"Sebagai contoh, sebuah kelas yang mempunyai 30 pelajar, 15 pelajar boleh hadir ke kelas manakala bakinya secara dalam talian di rumah dan ia dilaksanakan secara bergilir.

"Bagi mengatasi masalah nisbah guru dan pelajar, guru boleh mengaplikasikan gaya interaksi yang berbeza supaya supaya proses PdP berjalan dengan berkesan," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Mengulas mengenai mata pelajaran pula, Harry berkata, semuanya perlu diteruskan seperti biasa namun jumlah jam interaktifnya perlu diubah mengikut kesesuaian dengan subjek teras dan elektif.

Sementara itu, Yang Dipertua Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia, Sukimin Juki, berkata sekolah hanya boleh dibuka semula jika isu COVID-19 selesai sepenuhnya.

"Difahamkan, sekolah dibuka secara berperingkat dengan keutamaan kepada mereka yang akan menduduki peperiksaan besar seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

"Jika bagi hanya yang akan menduduki peperiksaan utama, jumlah pelajar di dalam kelas tidak menjadi isu besar kerana mereka boleh dipecahkan kepada beberapa kumpulan mengikut kesesuaian bilik darjah dengan mematuhi penjarakan sosial yang dibenarkan.

"Mereka mungkin boleh menggunakan kelas pelajar lain yang masih belum dibenarkan ke sekolah. Justeru, guru perlu kreatif melaksanakan PdP dan menggunakan teknologi sebagai sebahagian daripada proses PdP," katanya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan kerajaan akan memberi keutamaan kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan utama untuk ke sekolah apabila sesi persekolahan dibuka nanti.

Ia membabitkan mereka yang akan menduduki peperiksaan SPM, SVM, STPM dan STAM.

Sambil memberi jaminan pembukaan sekolah akan dimaklumkan dua minggu lebih awal, Muhyiddin berkata, ini untuk memastikan prosedur operasi standard (SOP) mengenai penjarakan sosial dan penjagaan kebersihan diri yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan dapat dipatuhi.

We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon