Tuesday, 26 May 2020

Buka sekolah: SMKA Kedah susun atur kerusi, meja dan SOP cegah Covid-19

Ustaz Mahir (kiri) bersama pentadbir
memantau susunan meja
dalam kelas agar mematuhi jarak sosial.
- GPS Bestari
GPS Bestari - Walaupun belum ditentukan lagi tarikh bermulanya sekolah dibuka, namun para guru dan pentadbir sudah mula membuat persiapan bagi memastikan SOP pencegahan Covid-19 dipatuhi pelajar dan guru.

Pengumuman yang dibuat Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Jidin baru-baru ini memaklumkan bahawa kelas peperiksaan, iaitu Tingkatan Lima dan Enam akan dibuka dahulu dan tarikh buka sekolah dimaklumkan kepada guru dua minggu lebih awal.

Menurut laporan portal GPS Bestari, Pengetua Cemerlang SMKA Kedah Model Ulul Albab, Mahir Mohamad berkata, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) telah menyumbang 1,000 penutup muka dan lima alat penyukat suhu dengan jumlah keseluruhan RM2,700.

"Kami juga menerima sumbangan penutup muka dan alat penyukat suhu daripada pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Setar, pengusaha kantin serta syarikat keselamatan dan kebersihan sekolah.

"Pihak sekolah menyediakan 15 botol cecair pembasmi kuman untuk kegunaan guru dan pelajar apabila sekolah dibuka kelak," katanya.
Guru Penolong Kanan Tingkatan Enam,
Siti Zainab Mohd Taibmenerangkan laluan pelajar
ketika di kantin kepada Ustaz Mahir.
- GPS Bestari
Sehubungan itu, pihak pengurusan sekolah mengucapkan terima kasih kepada jawatankuasa PIBG yang sentiasa cakna membantu sekolah di saat senang dan susah.

"Pihak sekolah juga telah menerima kunjungan pegawai PPD Kota Setar bagi memantau simulasi sebelum pembukaan sekolah pada pandemik Covid-19 ini.

"Respon yang diberikan pegawai berkenaan sangat positif dan pihak sekolah sememangnya bersedia lebih awal bagi mengelakkan sebarang masalah sebaik sekolah di buka kelak," katanya.

Sementara itu, Guru Cemerlang Hifz al-Quran, Ismail Salleh pula berkata sekolah itu mempunyai 140 pelajar Tingkatan Lima dan 112 pelajar Tingkatan Enam.

"Setiap kelas kami tetapkan hanya 15 orang dan kesemuanya berjumlah 10 kelas untuk Tingkatan Lima dan Enam," katanya.

Setiausaha PIBG, Ahmad Assim Salleh pula memberitahu, pihak PIBG amat berbesar hati dan sentiasa menyokong program sekolah bagi memastikan keselamatan pelajar tidak terabai khususnya dalam norma baharu pasca Covid-19.

"Kami harap ibu bapa dapat menjaga pergerakan dan mengawal jarak komunikasi agar tidak dijangkiti Covid-19. Komitmen guru dan ibu bapa amat diperlukan bagi memastikan wabak ini tidak menular di sekolah dan kita sama-sama mendoakan agar negara segera bebas daripada wabak ini," katanya.
Pekerja pembersihan sekolah turut membantu
menyusun mejadalam kelas yang
hanya boleh memuatkan 15 pelajar. - GPS Bestari
Portal itu melaporkan Pada 13 Mei lalu, ketika menyampaikan sumbangan bantuan barisan hadapan daripada Majlis Guru Besar Selangor kepada Tabung Covid Sinar dan program Word #Quran Hour di Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd, Timbalan Menteri Pendidikan II, Muslimim Yahaya memberitahu bahawa Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan belum ada perancangan untuk membuka sesi persekolahan kepada pelajar lain terutamanya di peringkat sekolah rendah.

“Kita tahu kita berhadapan dengan satu senario yang kita tak nampak dan berperang dengan sesuatu yang kita tak nampak. Adalah menjadi dasar keselamatan kita untuk memberi keutamaan kepada kelas peperiksaan.

Menurut beliau, bagi memastikan keselamatan pelajar terjamin, KPM telah menjalankan simulasi kelas peperiksaan menggunakan kaedah terbaik

“Alhamdulillah simulasi kelas peperiksaan yang kita jalankan ini nampaknya berjalan lancar dengan menggunakan kaedah yang terbaik bagi memastikan keselamatan pelajar terjamin,” katanya.

Sumber: GPS Bestari

We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon