Thursday, 21 May 2020

Buka sekolah: Syor lebih dua sesi rehat, tempah awal, makan dalam kelas - Pengusaha kantin

Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Makanan ditempah awal dan murid menikmatinya di dalam kelas antara pendekatan yang bakal diambil pengusaha kantin sekiranya sekolah kembali dibuka nanti.

Jika kaedah itu dipersetujui pengurusan sekolah, bermakna kantin tidak lagi mempamerkan makanan secara terbuka dan murid hanya perlu beratur untuk mengambil makanan yang dipesan awal ibu bapa hari sebelumnya.

Setiausaha Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM), Normah Md Desa, berkata kaedah itu sekali gus akan memudahkan pengusahanya membuat anggaran perbelanjaan dan merancang menu masakan dengan lebih awal.

"Kita juga mengesyorkan sekolah mewujudkan lebih dua sesi waktu rehat atau menetapkan bilangan tertentu untuk keluar bagi mematuhi penjarakan sosial.

"Selain menyediakan sabun di tempat basuh tangan, pengusaha kantin akan diingatkan supaya meletakkan cecair nyah kuman untuk membolehkan ia digunakan warga sekolah," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Pada 25 April lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan sesi persekolahan hanya akan dibuka selepas keadaan pandemik COVID-19 pulih menerusi pengumuman yang akan dibuat dua minggu lebih awal.

Normah berkata, susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu, lebih 3,300 pengusaha kantin yang bernaung di bawah PPKSM terjejas mata pencarian selaras penutupan sekolah.

"Kami akur dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini, selagi sesi persekolahan tidak berlangsung, selagi itu kami tidak dapat beroperasi.

"Ramai ahli terpaksa mencari pendapatan lain antaranya mengusahakan makanan sejuk beku, menjadi penghantar makanan dan mencari rezeki berniaga makanan di platform dalam talian demi kelangsungan hidup," katanya.

Katanya, pihaknya akan memastikan ahlinya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti melakukan pembersihan menggunakan cecair nyah kuman, mengambil dan merekod suhu badan, penggunaan pelitup separuh muka dan menjaga jarak satu meter antara satu sama lain.

Beliau berkata, penyediaan makanan dalam bekas adalah seperti Rancangan Makanan Tambahan (RMT) atau Program Sarapan Pagi (PSP).

"Jika murid berkurangan sekalipun, operasi kantin akan berjalan lancar kerana pengusaha tahu berapa tempahan diterima serta tidak berlaku pembaziran," katanya.

Sementara itu, ramai pihaknya merayu kementerian dapat mencari penyelesaian terbaik masalah makanan yang dijual di luar sekolah kerana menjejaskan bilangan murid dan guru yang makan di kantin.

"Pada 2013, KPM ada mengeluarkan pekeliling mengenai larangan makanan daripada luar, namun ia tidak dipatuhi," katanya.

We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon