Saturday, 9 May 2020

COVID-19: Lanjut PKPB hingga penghujung Mei - Pakar

KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan kerajaan sejak 4 Mei lalu perlu diteruskan sehingga penghujung bulan ini.

Pakar dan Profesor Epidemiologi dan Presiden Konsortium Akademik Kesihatan Awam Asia-Pasifik Kuala Lumpur, Datuk Prof Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud berpandangan, langkah itu bagi memastikan semua pihak memahami aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) selain membiasakan diri dengan normal baharu.
Menurut beliau, tempoh PKPB yang dilaksanakan juga tidak menampakkan impak jelas sama ada langkah itu memberi kesan positif mahupun negatif.

"PKPB ini perlu diteruskan atau dilanjutkan kerana ia baru sahaja bemula dan sejak dilaksanakan hanya sembilan hari sahaja tempoh itu.

"Jadi kita masih tidak nampak apakah kesan atau impak daripada pelaksanaan PKPB itu kerana tempohnya terlalu pendek dan saya berpandangan, tempoh itu hanya memberi peluang untuk kita membiasakan diri dengan normal baharu khususnya dalam pematuhan SOP PKPB," katanya kepada Astro AWANI pada Sabtu.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Kluster keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub berkata, keputusan sama ada PKPB yang tamat 12 Mei ini dilanjutkan atau sebaliknya akan diketahui dalam masa terdekat selepas mendapatkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

Mengulas lanjut, Awang Bulgiba berkata, pelaksanaan untuk melonggarkan PKPB dilihat boleh dilakukan secara berperingkat berdasarkan status zon atau kawasan berkenaan.

"Di Malaysia kita ada zon hijau, jingga dan merah dan jika sesuatu kawasan itu telah berada pada zon hijau selama sekurang-kurangnya 14 hari, maka kerajaan boleh kurangkan peraturan PKPB.

"Ini kerana kita tidak mahu jika sesuatu kawasan telah pun berada pada zon hijau dalam tempoh lebih 14 hari akan kembali kepada zon jingga atau merah jika SOP PKPB dilonggarkan secara terbuka," jelasnya.

We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon