Sunday, 17 May 2020

COVID-19: NUTP cadang sesi persekolahan secara bergilir

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mencadangkan sesi persekolahan bergilir-gilir diperkenalkan supaya tidak berlaku keciciran pengajaran dan pembelajaran (PdP) antara pendidik dengan murid yang berdepan kekangan capaian internet.

Presidennya, Aminuddin Awang, berkata sistem penggiliran itu tidak tertakluk kepada semua sekolah namun keutamaan diberikan bagi sekolah yang mempunyai kesediaan.

Beliau berkata, bagi sekolah yang tidak mempunyai kemudahan internet boleh memikirkan alternatif lain dalam usaha memastikan murid tidak tercicir.

"Dalam perbincangan di peringkat pakar, isu ini (capaian internet) timbul tetapi dapatan kita ini cadangkan bagi sekolah yang mempunyai kesediaan. Bukan semua sekolah tidak mempunyai kesediaan, jadi sekolah mempunyai kesediaan boleh laksanakan cadangan ini.

"Bagaimanapun, bagi sekolah yang tidak ada kemudahan internet di luar bandar, mereka mungkin ada alternatif lain dan sebagainya. Kita bentangkan tadi ada juga sekolah secara penggiliran.

"Maksudnya, sekolah boleh buat penggiliran kelas atau kumpulan dalam kelas. Ada kumpulan yang bergilir-gilir hadir ke sekolah. Bagi yang tidak ada kesediaan, boleh buat penggiliran kumpulan dalam kelas," katanya pada sidang media dalam talian hari ini.

Dalam sidang media itu, Aminuddin menyentuh mengenai kajian berimpak tinggi dan berskala besar berkenaan persekolahan berasaskan pedagogi penjarakan sosial pasca pandemik COVID-19 membabitkan 100 responden dalam kalangan pakar serta hasil analisis 10,171 responden.

Beliau berkata, antara dapatan awal yang diperoleh adalah mencadangkan sistem persekolahan dinamik iaitu tiga hari bersekolah dan dua hari pembelajaran dalam talian di rumah ditambah baik menerusi sistem penggiliran persekolahan.

Jelasnya, ini bermaksud murid hanya perlu hadir tiga hari atau dua hari dalam seminggu serta selebihnya belajar secara dalam talian di rumah.

"Pakar juga bersetuju sistem persekolahan penggiliran dinamik juga dilaksnakan di sekolah. Pakar bersetuju secara konsensus supaya penggiliran ini berlaku mengikut kelas dan juga tingkatan.

"Untuk tujuan itu, pihak sekolah diberi kuasa untuk menentukan bentuk penggiliran yang sesuai dengan jumlah murid dan juga kemudahan di sekolah masing-masing.

"Sebagai contoh bagi sekolah kurang murid (SKM) maka penggiliran kelas tidak sesuai dilakukan kerana jumlah murid dalam satu bilik darjah hanya sekitar 10 hingga 15 orang sahaja. Jadi, penggiliran darjah atau tingkatan adalah lebih sesuai," katanya.

We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon