Saturday, 16 May 2020

PKPB: NUTP tidak bantah persiapan awal persekolahan, tetapi bukan sekarang

Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) tidak bersetuju dengan tindakan sekolah yang memanggil guru-guru melakukan kerja pembersihan sekolah dan susun atur berikutan keadaan masih belum selamat.

Presidennya, Amiruddin Awang, berkata ini bukan masa yang sesuai untuk membuat persiapan kembali ke sekolah berikutan pihak Kementerian Pendidikan hanya akan mengumumkan dalam tempoh dua minggu sebelum sekolah benar-benar dibuka.

Katanya, persiapan itu dilihat tidak mempunyai hala tuju yang jelas selain membahayakan keselamatan guru yang berada di luar rumah kerana penularan COVID-19 masih berlaku.

"Tarikh sebenar pembukaan sekolah juga akan dilihat berdasarkan status dan pola pesakit COVID-19 sama ada menurun atau meningkat serta bergantung kepada keselamatan.

"Bahkan tidak ada sesiapa pun dapat menjangka bila sekolah akan dibuka sepenuhnya melihat kepada situasi terkini," katanya.

Amiruddin berkata, NUTP berpendapat tempoh dua minggu yang diberikan oleh kementerian untuk melakukan pembersihan sekolah sebelum tarikh sebenar dibuka adalah lebih sesuai.

Isnin lalu, Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, kementerian akan memberikan notis 4 hari sebelum sekolah dibuka, namun ia terhad untuk pelajar Tingkatan 5 dan 6 saja.

Beliau menjelaskan, apabila sekolah dibuka, faktor keselamatan dan prosedur operasi standard (SOP) akan diutamakan berdasarkan garis panduan yang akan dikeluarkan seperti penjarakan sosial dan bilangan murid yang akan ditempatkan di dalam kelas.

"Kita juga akan memastikan aspek susun atur meja di dalam bilik darjah dan digalakkan juga sekolah yang berkemampuan untuk membalut meja dengan plastik supaya senang untuk proses pembersihan.

"Selain itu aspek pencahayaan dan pengudaraan juga akan diambil kira. Kedatangan guru juga akan difikirkan bagi mengelak terlaku banyak pergerakan selain jumlah mata pelajaran dikurang daripada tujuh mungkin kepada empat subjek sehari.

"Bagi sekolah yang ada kemudahan dewan, mungkin boleh digunakan untuk proses pembelajaran, maksimum seramai 35 orang saja bergantung kepada saiz dewan," katanya.

We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon