Saturday, 6 June 2020

Buka Sekolah: Guru sambut baik garis panduan baharu

Gambar hiasan via Berita Harian
KUCHING - Guru-guru bersetuju dan menyambut baik Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (kpm) yang mula dieadrkan kepada sekolah bermula semalam.

Garis panduan setebal 24 muka surat itu dihasilkan secara terperinci dan menyeluruh bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai panduan kepada warga sekolah termasuk guru, pelajara dan kakitangan.

Menurut Siti Nazurah Suaip, 31, guru Sekolah Menengah Kebangsaaan (SMK), beliau bersetuju dengan garis panduan yang sangat terperinci tersebut.

"Teurtamanya bagi pemeriksaan suhu badan di sekolah dan makan di kelas pada waktu rehat.

"Ini kerana waktu rehat pelajar berkumpul sesama sendiri dan mereka mungkin akan mengabaikan penjarakan sosial yang ditetapkan.

"Jadi apabila adanya waktu rehat yang dilaksanakan secara berperingkat dan makan di dalam kelas, maka jumlah pelajar tersebut dapat dikawal dengan lebih mudah," katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak, semalam.

Tambahnya, garis panduan pergerakan dan penjarakan sosial bagi guru juga sangat bagus.

"Ini kerana, apabila guru-guru dipindahkan dari bilik guru asal dan ditempatkan di bilik bersesuaian untuk tidak bersesak di dalam bilik guru, ia akan memudahkan penjagaan penjarakan sosial.

"Sehubungan dengan itu, usaha ini juga dapat mengurangkan risiko jangkitan," jelasnya.

Sementara itu, bagi Fifiriana Kandranan, 28, sebagai guru, beliau turut bersetuju dengan garis panduan yang ditetapkan.

"Ia terutamanya dalam pelaksanaan waktu rehat berperingkat dalam usaha menjaga penjarakan sosial di antara pelajar.

"Selain itu, penyediaan bilik isolasi juga amat bagus dan amat penting jika seseorang pelajar itu menunjukkan gejala maka mereka dapat diasingkan daripada pelajar lain sementara menunggu pihak sekolah menghubungi ibu bapa mereka," ujarnya.

Terdahulu, Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah KPM telah diedarkan kepada sekolah dan dimuat naik di laman sesawang kementerian bermula semalam sebagai rujukan kepada guru dan pengurusan sekolah.

Dalam garis panduan baharu yang dikeluarkan untuk pembukaan semula sekolah, sesi persekolahan hanya untuk murid Tingkatan Lima yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan murid Tingkatan Enam yang mengambil Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), serta semua peperiksaan antarabangsa yang setara.

"Home=based learning untuk peringkat yang lain sehingga dimaklumkan KPM. Pertandingan ko-akademik dan ko-kurikulum (akan dibuat secara) dalam talian dan semua kakitangan sekolah dijangka kembali bekerja sebaik sahaja sekolah dibuka semula.

"Semua aktiviti dibenarkan, kecuali sukan, aktiviti kokurikulum, bersemuka dan sebarang bentuk perhimpunan sekolah atau aktiviti yang melibatkan murid, guru dan warga sekolah berkumpul beramai-ramai," kata garis panduan itu.

Protokol yang dikeluarkan dalam garis panduan itu merangkumi jarak sosial, kebersihan tangan, pemeriksaan kesihatan, pembersihan dan sanitasi, hebahan maklumat langkah kesihatan dan keselamatan, susunatur meja dan aplikasi MySejahtera.

Sumber: Utusan Sarawak

We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon