Friday, 12 June 2020

Buka sekolah: Jangan bebani guru kelas peperiksaan dengan tugas selain mengajar - KKGLMSM

Gambar hiasan
LANGKAWI: Guru yang mengajar kelas peperiksaan awam sepatutnya tidak dibebani dengan tugas lain kerana mereka mengejar masa untuk menghabiskan sukatan pelajaran.

Kesatuan Kebangsaan Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM) mahu pendidik itu fokus kepada pengajaran dan pembelajaran yang banyak tertangguh disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Presidennya, Sahibul Bahrin Ahmad, berkata guru berdepan dengan kekangan masa bagi menamatkan silibus tingkatan lima untuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadual pada suku pertama tahun depan.

"Penulisan Rancangan Pelajaran Harian ketika PKP dan pascaPKP agak berbeza. Jadi, guru perlu diberi ruang menggunakan masa berbaki yang terhad untuk membantu pelajar sepenuhnya.

"Pentadbir sekolah perlu membebaskan guru kelas peperiksaan daripada pelbagai kajian, kerja luar dan tugas menguruskan keselamatan sebaik sekolah dibuka semula," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Pendidikan), Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan sesi persekolahan untuk pelajar Tingkatan Lima dan Enam yang mengambil peperiksaan awam bermula 24 Jun ini.

Pembukaan semula itu membabitkan 500,444 pelajar dari 2,440 sekolah pelajar kelas peperiksaan awam dan peperiksaan antarabangsa.

We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon