Wednesday, 10 June 2020

Buka sekolah: NUTP mohon KPM perincikan SOP PdP

Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) meminta Kementerian Pendidikan memperincikan prosedur operasi standard (SOP) pengajaran dan pembelajaran (PdP) sebelum sesi persekolahan dibuka 24 Jun ini.

Presidennya, Amiruddin Awang, berkata NUTP menyambut baik pengumuman kementerian itu berhubung SOP dan tarikh pembukaan semula sekolah, namun aspek PdP perlu diperincikan sebagai panduan kepada guru mengendalikan kelas secara fizikal.

NUTP melihat pengumuman yang dibuat itu menjurus kepada garis panduan keselamatan dan kesihatan di sekolah, bukan memperincikan PdP.

"NUTP melihat pengumuman dibuat Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Md Jidin menepati janji kementerian yang sebelum ini mengatakan pihaknya akan menjelaskan SOP dan tarikh dua minggu sebelum sekolah dibuka.

"Perincian SOP PdP ini juga penting untuk membolehkan pihak sekolah dan guru menentukan penempatan tenaga pengajar serta jadual mata pelajaran setiap hari," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Mengulas lanjut, Amiruddin berkata, NUTP mencadangkan jumlah mata pelajaran dihadkan kepada hanya empat subjek teras setiap hari persekolahan.

Katanya, bagi mata pelajaran elektif pula, ia wajar dikendalikan guru secara dalam talian di rumah melalui kemudahan teknologi sedia ada seperti aplikasi video.

"Sesi persekolahan harian wajar dikendalikan empat jam sahaja sekali gus membantu mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 dalam kalangan warga sekolah.

"Sebagai contoh, waktu persekolahan sesi pagi, dijalankan bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari, manakala sesi petang bermula jam 1 tengah hari hingga jam 5 petang," katanya.

We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon