Wednesday, 10 June 2020

Buka sekolah: Tubuh pasukan tindak balas kecemasan di sekolah

Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran (KPM) disaran untuk menubuhkan satu pasukan tindak balas kecemasan (ERT) di setiap sekolah bagi memastikan setiap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dapat dipatuhi semua pihak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan.

Dekan Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Samsilah Roslan berkata, perkara itu dilihat penting bagi memastikan tindakan segera dapat diambil sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini termasuk pelanggaran SOP yang ditetapkan.

"Bagi mematuhi setiap SOP yang ditetapkan adalah sangat digalakkan agar kementerian menubuhkan satu pasukan kecemasan khas di setiap sekolah untuk memantau pelaksanaan SOP agar ia dipatuhi semua pihak.

"Selain itu, langkah itu juga membolehkan pasukan berkenaan mengambil tindakan segera jika berlaku sebarang kejadian khususnya pelanggaran SOP baik dalam kalangan murid mahupun guru.

"Ini bertujuan memastikan setiap langkah yang diambil adalah untuk mengelakkan wujudkan kluster baharu selepas sesi pesekolahan dibuka pada dua minggu lagi," katanya ketika ditemubual dalam Buletin AWANI Khas di sini pada Rabu.

Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin petang tadi menetapkan 24 Jun ini sebagai tarikh pembukaan sekolah melibatkan murid kelas peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta peperiksaan antarabangsa yang setara bagi seluruh negara.

Menurut beliau, pembukaan semula itu melibatkan 500,444 orang pelajar dari 2,440 buah sekolah murid kelas peperiksaan awam dan peperiksaan antarabangsa yang setara seluruh negara.

Mengulas lanjut, Samsilah meminta agar semua pihak memainkan peranan dalam menzahirkan semangat serta menyuntik inspirasi kepada pelajar untuk meneruskan sesi pembelajaran demi masa depan golongan itu.

"Semua ibu bapa perlu beri semangat kepada anak-anak untuk lebih berani meneruskan perjuangan dalam pembelajaran mengikut normal baharu di sekolah.

"Selain itu, kita juga perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan berlaku termasuk mengambil tindakan segera jika perlu," katanya.

Dalam pada itu, beliau percaya, kemungkinan wujud kluster baharu selepas sesi persekolahan dibuka amat rendah jika semua SOP dipatuhi baik dalam kalangan murid mahupun guru.

Sumber: Astro Awani

We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon