Friday, 5 June 2020

COVID-19: PKPB wajar dilanjutkan, SOP diperketatkan - Pakar kesihatan awam

Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi dan Biostatistik)
dari Universiti Putra Malaysia (UPM),
Prof Madya Dr Hayati Kadir Shahar
KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan berakhir 9 Jun ini wajar diteruskan dengan kerajaan perlu mempertimbangkan kelonggaran bagi sektor tertentu.

Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi dan Biostatistik) dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Hayati Kadir Shahar, berkata pada masa sama prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat perlu dilaksanakan bagi memastikan masyarakat tidak melanggar arahan ditetapkan.

"PKPB wajar diteruskan dan perlu diberi kelonggaran sedikit demi sedikit misalnya bagi sektor ekonomi dan keagamaan yang sudah boleh mula beroperasi .

"Bagaimanapun, SOP ketat perlu dilaksanakan dan jika ada yang gagal mematuhinya, mereka boleh terus dikompaun," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Dr Hayati berkata, masyarakat perlu sentiasa diingatkan untuk mengikuti SOP walaupun PKPB telah dilonggarkan untuk sebahagian sektor.

"Kepatuhan kepada SOP dan disiplin diri telah mula menjadi norma baharu dalam kalangan rakyat.

"Gelombang kedua boleh berlaku jika ada rakyat mula leka dengan kawalan kendiri dan memandang remeh kepada kepatuhan SOP," katanya.

Beliau berkata, pemantauan berterusan dan penguatkuasaan perlu dipertingkatkan supaya rakyat terhindar daripada jangkitan COVID-19.

"Orang ramai dinasihatkan supaya terus mengamalkan pendekatan 3W merangkumi kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), memakai pelitup separuh muka di tempat awam atau jika bergejala (wear) dan amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan (warn).

"Elakkan 3C, iaitu jauhi kawasan yang sesak (crowded place), elakkan kawasan yang sempit (confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (close conversation)," katanya.

Sumber: Berita Harian

We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon