Saturday, 27 June 2020

Cuti sekolah dikurangkan jejas industri pelancongan

Imej hiasan
PETALING JAYA: Sebuah kumpulan mewakili pemandu pelancong kecewa dengan keputusan kerajaan mengurangkan cuti sekolah pada akhir tahun berbaki 2 minggu kerana ia akan memberi tamparan kepada industri pelancongan dalam negara.

Majlis Pemandu Pelancong Malaysia berkata, kesan buruk akan dirasai bukan hanya pemandu pelancong, tetapi juga hotel, taman tema, pusat beli-belah, syarikat penerbangan dan perkhidmatan pengangkutan lain.

Presidennya, Jimmy Leong memberitahu FMT, beberapa minggu terakhir pada hujung tahun ialah masa paling menguntungkan buat pelancongan domestik.

“Cuti lebih panjang akan menggalakkan keluarga pergi bercuti, menggunakan cuti lebih pendek untuk menangani keperluan keluarga.”


Katanya, cuti sekolah yang dipendekkan kepada 2 minggu bermakna kebanyakan masa akan dihabiskan untuk menyelesaikan kerja berkaitan keluarga.

Setiausaha Agung Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta), Nigel Wong berkata jualan domestik pada Pameran Matta 2019 melebihi RM40 juta, dengan pakej percutian untuk tempoh cuti panjang merangkumi sebahagian besar jumlah itu.

Tetapi, katanya, terlalu awal untuk memberitahu bagaimana cuti sekolah dipendekkan akan menjejaskan pelancongan kerana ia perlu mengambil kira kebimbangan orang ramai terhadap penularan Covid-19.

“Kami merasakan pelancongan, secara umum, akan perlahan kerana rakyat masih bimbang untuk bercuti.

“Bagi pelancongan domestik, bagaimanapun, ia tentunya memberi kesan besar kepada industri kerana pelancong akan memendekkan rancangan pelancongan mereka.”

Yap Lip Seng, ketua pegawai eksekutif Persatuan Hotel Malaysia, berkata faktor kesihatan dan keselamatan masih menjadi pertimbangan utama pelancong berpotensi, disusuli kekangan kewangan.

“Walaupun cuti sekolah memainkan peranan besar dalam memacu pelancongan domestik, keadaan sekarang akan mempunyai kesan terhadap semua keputusan melancong, tidak kira apa perubahannya.

“Kami meramalkan purata penginapan hotel untuk 2020 hanya 25.41%. Kami hanya akan melihat pemulihan munasabah pada pertengahan 2021.”

Sumber: Free Malaysia Today

We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon