Wednesday, 10 June 2020

Guru maut dipanah petir ketika pulang dari sekolah

DALAT: Seorang guru maut selepas dipercayai dipanah petir ketika dalam perjalanan dari sekolahnya, Sekolah Kebangsaan Bungan Besar, Batang Igan dekat sini menuju ke Sungai Kut dengan menaiki perahu petang tadi.

Ketua Polis Daerah Dalat, Deputi Superintendan Saga Chunggat, berkata seorang doktor dari Hospital Dalat mengesahkan Alvin Chelen, 22, mengalami kecederaan parah di kepala akibat di panah petir dalam kejadian itu, dan kesan terbakar juga dapat dilihat pada rambut dan baju guru berkenaan.

"Kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang tadi tidak jauh dari Rumah Panjang Penguang ketika guru itu sedang dalam perjalanan balik dari sekolah menuju ke Sungai Kut, Dalat. Dia sedang mengemudi perahu panjang itu seorang diri ketika kejadian," katanya ketika dihubungi malam ini.

Beliau berkata ada dua orang saksi kejadian yang mengekori perahu itu menggunakan sebuah perahu lain kira-kira 25 meter di belakangnya, dan kejadian berlaku ketika hujan renyai.

"Menurut saksi, mereka dapat melihat panahan petir dari langit tiba-tiba menyambar guru itu sehingga menyebabkan dia rebah dalam perahunya," katanya, sambil menambah saksi-saksi itu kemudiannya menunda perahu berkenaan hingga ke jeti Sungai Kut sebelum menghubungi polis.

Mayat dihantar ke Hospital Dalat untuk tindakan lanjut. – BERNAMA

We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon