Monday, 22 June 2020

NUTP gesa sesi pembukaan semula prasekolah ditangguhkan

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) menangguhkan sesi prasekolah yang dijadual bermula 1 Julai ini.

Presidennya, Aminuddin Awang berkata, pihaknya mengenal pasti banyak masalah akan timbul membabitkan pengurusan dan infrastruktur di sekolah berkenaan.

Katanya, selain kawasan pembelajaran yang terhad, keperluan pembantu guru yang tidak mencukupi akan menjejaskan aktiviti pembelajaran dalam kelas.

"Kemudahan dalam prasekolah dan sekolah biasa tidak sama. Contohnya, prasekolah yang ada dua kelas, apabila dilaksana penjarakan sosial, akan berlaku ketidakcukupan kelas.

"Begitu juga dari segi pembantu guru. Ada sekolah hanya ada seorang pembantu. Apabila kelas dipecahkan perlu lebihan pembantu kepada guru bagi menguruskan murid," katanya pada sidang media di ibu pejabat NUTP di sini, hari ini.

Kerajaan sebelum ini membenarkan prasekolah dan Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) dibuka sepenuhnya bermula 1 Julai ini, bagaimanapun operasi tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Dalam sidang media sama, Aminuddin berkata, pihaknya memperkenalkan model pedagogi penjarakan sosial NUTP sebagai satu kaedah pembelajaran bentuk baru yang boleh dilaksana di sekolah terutama era pasca COVID-19.

Katanya, model berkenaan dibuat hasil penyelidikan 100 pakar pendidikan dalam negara selain mengambil kira keperluan guru dan persekitaran pembelajaran masa kini termasuk di bandar serta luar bandar.

"Model pedagogi ini menampilkan empat kaedah pembelajaran iaitu pembelajaran bersemuka (penjarakan sosial); segerak, tak segerak dan 'offline'.

"Kita akan turun ke seluruh negara untuk memberikan kursus kepada guru dan sekolah mengenai kaedah dan proses pengajaran dan pembelajaran (PnP) ini. Ia boleh disesuaikan mengikut lokaliti," katanya.

Beliau berkata, pembelajaran bersemuka satu proses PnP di mana guru mengajar dalam kelas seperti biasa, sementara segerak pula dilakukan secara 'live' menerusi aplikasi seperti google meet, zoom, skype dan video call.

Sementara, kaedah tak segerak dan 'offline' pula satu model PnP secara rakaman video serta pemberian tugasan tertentu kepada murid tanpa perlu mereka hadir ke sekolah.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, bagi menjayakan matlamat ini, syarikat telekomunikasi perlu bersama dalam memastikan kumpulan pendidik dan pelajar mendapat akses data internet yang mencukupi.

We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon