Wednesday, 24 June 2020

NUTP rayu takwim cuti penggal sekolah tahun 2020 dikekalkan

24 Jun - Melalui satu surat rasmi kepada Menteri Kanan Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) merayu agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mempertimbangkan takwim persekolahan 2020 yang telah dipinda supaya dikekalkan seperti biasa.

Menurut NUTP lagi, guru-guru komited dalam menguasai pembelajaran dalam talian dengan mengadakan kelas dan PdP secara maya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

NUTP juga memaklumkan bahawa hujung tahun merupakan musim banjir dan keadaan tersebut adalah tidak bersesuaian untuk sesi persekolahan selain terdapat sekolah yang terpaksa dijadikan pusat pemindahan banjir.

Guru-guru juga telah membuat perancangan awal untuk bercuti dan pulang ke kampung halaman termasuklah guru-guru yang berkhidmat di Sabah, Sarawak dan kawasan pedalaman.

Menurut NUTP juga, pelajar akan menjadi bosan kerana sesi persekolahan yang terlalu lama iaitu 78 hari berturut-turut.

Semalam, KPM memaklumkan telah berlaku pindaan terhadap takwim persekolahan bagi tahun 2020.

Cuti akhir tahun bagi sekolah-sekolah Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dikurangkan daripada 42 hari kepada 14 hari, manakala kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya) dikurangkan daripada 41 hari kepada 13 hari.

"Oleh itu, jumlah hari persekolahan secara bersemuka berdasarkan pindaan Takwim Penggal Persekolahan Tahun 2020 adalah sebanyak 168 hari bagi semua sekolah," kata KPM.

Menurut KPM, bilangan hari pembelajaran di rumah semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan adalah sebanyak 56 hari bagi sekolah dalam negeri Kumpulan A, manakala kumpulan B sebanyak 55 hari.

"Bilangan hari pembelajaran di rumah ini hanya terpakai kepada pelajar Tingkatan Lima dan Enam sahaja sementara bagi pelajar lain bergantung kepada bila mereka akan kembali ke sekolah kelak," katanya.

KPM berkata Takwim Penggal Persekolahan 2020 yang telah dipinda boleh diperoleh melalui laman sesawang
https://www.moe.gov.my/takwim/takwimpersekolahan-pindaan-2020.

KPM sebelum ini mengumumkan sekolah akan dibuka semula esok (24 Jun) melibatkan pelajar Tingkatan Lima dan Enam yang akan menduduki peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara.

We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon