Friday, 26 June 2020

PAGE setuju cuti sekolah dikurangkan, mahu KPM kekalkan pindaan takwim

Gambar fail
PETALING JAYA: Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Bagi Pendidikan (PAGE) menyambut baik keputusan kerajaan mengurangkan cuti sekolah hujung tahun 2020 dari 40 hari kepada 2 minggu.

Pengerusi Noor Azimah Rahim berkata memang perlu untuk mengejar pelajaran yang tertangguh kerana perintah kawalan pergerakan.

Beliau mendakwa beberapa guru tidak menjalankan kelas dalam talian yang dijadualkan pada Jun, iaitu ketika sekolah dalam keadaan biasa ditutup untuk cuti tengah tahun.

“Mereka ambil cuti walaupun ketinggalan,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata beberapa guru juga tidak berinteraksi dengan pelajar sejak Mac dan memberikan pautan dalam talian kepada mereka untuk rujukan sebelum menyerahkan kerja rumah.

Ada juga tidak tepati masa untuk kelas dalam talian dan ada juga yang membatalkan kelas pada saat-saat akhir, tambahnya.

“Kadang-kadang kelas yang dijadualkan berlangsung selama 1 jam hanya dijalankan selama 5 minit,” katanya.

Semalam, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia menggesa Putrajaya mengekalkan kalendar sekolah asal bagi tahun ini, mengatakan pelajaran diteruskan sepanjang PKP.

Beliau berkata hujung tahun kebiasaannya musim banjir, yang akan menyaksikan beberapa sekolah digunakan sebagai pusat pemindahan, dan mengganggu kelas.

Azimah berkata musim banjir tidak boleh menghalang pelajaran bagi pelajar yang tidak terkesan.

Pelajar yang terkesan dengan banjir boleh diberi buku dan diajar menerusi kelas dalam talian dan program TV pendidikan, tambahnya.

Pengerusi Kumpulan Tindakan Melaka bagi Ibu Bapa Dalam Pendidikan, Mak Chee Kin meminta para guru berkorban, mengatakan keadaan ketika ini memerlukan kefleksibelan.

Beliau bersetuju pelajaran dalam talian tidak memuaskan.

“Saya tak kata semua guru tidak bekerja semasa PKP,” katanya. “Saya kenal beberapa guru yang sangat rajin, tekun, dan banyak berusaha semasa PKP,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan harus mempertahankan keputusan untuk mengubah kalendar sekolah.

Sumber: Free Malaysia Today

We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon