Tuesday, 16 June 2020

Pembukaan semula prasekolah, TADIKA penting untuk kesejahteraan kanak-kanak - Majlis ECCE

Kakitangan sebuah TADIKA membuat persediaan sejajar
pengumuman kerajaan untuk membenarkan prasekolah dan
TADIKA dibuka semula sepenuhnya mulai 1 Julai depan.
 - NSTP/FATHIL ASRI
KUALA LUMPUR: Pembukaan semula sepenuhnya prasekolah dan Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) mulai 1 Julai depan, disifatkan penting bagi kesejahteraan kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun yang memerlukan interaksi sosial untuk perkembangan psikologi mereka.

Presiden Majlis Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Malaysia (Majlis ECCE), Datuk Dr Chiam Heng Keng, berkata ini kerana interaksi secara bersemuka adalah jauh lebih berkesan berbanding dalam talian, lebih-lebih lagi pendedahan golongan itu kepada skrin harus ada batas.

"Justeru, Majlis ECCE mengalu-alukan pembukaan semula operasi ini. Ia sangat dinantikan oleh industri ECCE yang menghadapi masalah kewangan berikutan kehilangan pendapatan sepanjang penutupan operasi dan pada masa sama tetap perlu membayar gaji kakitangan.

"Yang paling penting ialah kesejahteraan anak kerana walaupun mereka mempunyai aktiviti dan kelas dalam talian yang disediakan TADIKA masing-masing, mereka merindui rakan di TADIKA.

"Lebih-lebih lagi, kanak-kanak pada usia ini memerlukan interaksi sosial untuk kesejahteraan psikologi, selain persekitaran berbeza untuk rangsangan dan pengalaman pada sel neuron atau otak bagi membentuk serta menguatkan salur saraf, " katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan bahawa kerajaan membenarkan prasekolah dan TADIKA dibuka sepenuhnya bermula 1 Julai depan, namun operasi mereka tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Mengulas lanjut, Heng Keng berkata, pengumuman itu juga pasti adalah khabar gembira buat ibu bapa kerana dapat menghantar semula anak ke TADIKA, sekali gus membolehkan mereka kembali bekerja.

Pada masa sama, beliau berkata, pengusaha prasekolah dan TADIKA diingatkan supaya sentiasa mematuhi SOP ditetapkan bagi mengelakkan berlaku jangkitan baharu COVID-19 dalam kalangan warga mereka.

We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon