Tuesday, 9 June 2020

PKPP: Kembali ke pejabat, ketua jabatan perlu ada budi bicara - CUEPACS

Imej via Bernama
PUTRAJAYA: Ketua jabatan perlu ada budi bicara berhubung penggiliran waktu bekerja dan bekerja dari rumah (BDR) untuk penjawat awam yang menghadapi kesulitan dari segi penjagaan anak ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat, berkata pertimbangan itu wajar walaupun kerajaan memperkenalkan PKPP dan keberadaan kakitangan awam di pejabat boleh ditingkatkan hingga 100 peratus.

Beliau berkata, ini kerana bukan semua sektor dibuka, terutama pendidikan di mana anak-anak masih berada di rumah, sekali gus menyebabkan kakitangan awam berdepan kesulitan khususnya jika pasangan mereka juga bekerja.

"Justeru, CUEPACS kecewa apabila ada ketua jabatan yang tidak peka dan tetap mengarahkan kakitangannya datang bekerja di pejabat walaupun sudah dimaklumkan mengenai masalah berkenaan.

"Masalah timbul kerana kedua-dua suami isteri mula bertugas serentak. Lebih teruk lagi, ada ketua jabatan memberikan arahan supaya kakitangan bawahan mengambil cuti tahunan jika tidak dapat hadir bekerja kerana perlu menguruskan anak-anak kecil di rumah.

"Perkara ini amat mendukacitakan kerana Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum ini memaklumkan supaya membenarkan penggiliran dan waktu kerja anjal kepada kakitangan awam yang ada kesulitan dari segi penjagaan anak," katanya kepada BH, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Adnan menegaskan, kerajaan juga menggalakkan kakitangan awam untuk BDR kecuali apabila membabitkan proses tugas yang memerlukan keberadaan di pejabat saja.

"Malah, surat edaran Jabatan Perkhidmatan Awam jelas menyatakan bahawa BDR masih terlaksana, khususnya bagi mereka yang mengalami masalah penjagaan anak.

"Oleh itu, CUEPACS berharap ketua jabatan perlulah mengikut arahan dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara (KPN) dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).

"Penggiliran waktu bekerja dan BDR masih diteruskan ketika sektor pendidikan belum dibuka. Ketua jabatan diminta agar mengimbangi antara keperluan hadir di pejabat dengan BDR hingga sekolah telah dibuka sepenuhnya.

"Gunakanlah kebijaksanaan sebagai ketua jabatan dengan mengagihkan BDR kepada kakitangan yang memerlukan," katanya.

Terdahulu, tinjauan dalam media sosial Facebook mendapati ramai penjawat awam meluahkan perasaan tidak berpuas hati susulan tindakan ketua jabatan mengeluarkan arahan kembali bekerja di pejabat, beberapa jam selepas Perdana Menteri mengumumkan PKPP, semalam.

We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon