Sunday, 7 June 2020

PKPP: SOP tidak luntur semangat guru untuk terus berkhidmat

Imej  via Berita Harian
KUALA TERENGGANU: Lebih 20 guru Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malek (SHAMS) membuat persiapan menjelang hari pembukaan sekolah yang dijangka dalam tempoh terdekat susulan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun ini.

Persiapan yang dijalankan termasuk kerja-kerja membuat garisan penjarakan sosial mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan di kelas, kantin dan asrama.

Penolong Kanan Kokurikulum SHAMS, Marzuki Musa berkata, semua guru bersemangat untuk memulakan sesi persekolahan seperti biasa.

"Kami sudah diberi taklimat oleh Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) mengenai SOP yang ditetapkan untuk semua guru dan pelajar yang bakal memulakan sesi persekolahan.

"Pelajar tingkatan lima dan tingkatan enam dahulu yang akan memulakan sesi persekolahan nanti dan mereka perlu mengikuti garis panduan yang disediakan," katanya ketika ditemui di SHAMS, hari ini.

Marzuki berkata, selain membuat garisan di kelas dan kantin, garisan penjarakan sosial juga disediakan di asrama.

"Sebelum ini, SHAMS mempunyai dua kelas tingkatan enam tetapi kerana mematuhi SOP yang ditetapkan iaitu hanya 15 orang dalam satu kelas, tiga kelas dibuka untuk mereka.

"Kelas tingkatan lima juga ditambah daripada lapan kelas ke 10 kelas kerana mematuhi SOP yang ditetapkan itu," katanya.

Tambahnya, dia berharap semua SOP yang ditetapkan dapat dipatuhi dengan sebaik mungkin untuk kebaikan bersama.

"Semua guru bersedia memulakan sesi persekolahan dan mematuhi segala SOP yang ditetapkan," katanya.

Sementara itu, guru, Mohd Saufi Yusof berkata, dia turut teruja untuk memulakan sesi pembelajaran di dalam kelas seperti biasa.

"Walaupun perlu mengikuti SOP yang ditetapkan namun ia tidak menjejaskan semangat guru untuk memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran dalam kelas.

"Lebih dua bulan guru dan pelajar menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran melalui kelas maya di atas talian.

"Bagaimanapun tetap tidak sama dengan sesi pembelajaran di dalam kelas," katanya.

Menurutnya, dia berharap semua garis panduan dan SOP yang ditetapkan dapat dipatuhi pelajar dan guru sebaik mungkin untuk kebaikan bersama.

Sumber: Berita Harian

We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon