Wednesday, 24 June 2020

Rungutan pindaan takwim cuti sekolah akan dibincang di peringkat kementerian - Timb Menteri

SEREMBAN - Rungutan pelbagai pihak berhubung perubahan Cuti Takwim Penggal Persekolahan Tahun 2020 akan dibincangkan di peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), kata Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Dr Mah Hang Soon.

Menurutnya, pihaknya memahami dan mengambil perhatian terhadap setiap rungutan namun berpendapat perkara paling penting diberi perhatian ketika ini ialah soal keselamatan pelajar yang telah memulakan sesi persekolahan.

"Saya faham memang ada sedikit rungutan dan pandangan berbeza pihak tertentu tetapi sudah pasti kita setuju PnP (pengajaran dan pembelajaran) jadi keutamaan selepas situasi Covid-19 semakin reda.

"Saya akan bincang perkara ini dengan Menteri Pendidikan. Apa yang saya hendak tekankan ialah jadi tanggungjawab guru untuk pastikan kebajikan pelajar diutamakan," katanya pada sidang akhbar selepas membuat lawatan pembukaan sesi persekolahan di Kolej Vokasional Ampangan di sini hari ini.

Hang Soon (dua dari kanan) melihat pelajar membeli makanan di kantin.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) yang menggesa KPM menilai semula langkah pindaan Takwim Penggal Persekolahan Tahun 2020 yang turut melibatkan pengurangan Cuti Pertengahan Penggal 2.

Hang Soon berkata, pembukaan semula sesi persekolahan untuk pelajar kelas peperiksaan awam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang bermula hari ini akan menjadi pertimbangan KPM untuk menentukan pembukaan sesi persekolahan bagi pelajar lain.

Menurutnya, hasil penelitian pelaksanaan PnP yang dijalankan akan diaudit bagi membolehkan tindakan selanjutnya dilakukan.

Mengenai lawatan diadakan pula beliau berpendapat, semuanya berjalan lancar dan semua sekolah yang dilawatinya dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Jadi saya seru kepada semua warga pendidik untuk memikul tanggungjawab secara bersungguh-sungguh dan bersedia dengan permasalahan yang bakal tiba.

"Masalah sentiasa ada tetapi bagaimana cara untuk kita mengatasinya dan fikirkan apa langkah terbaik perlu dilakukan," katanya.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon