Wednesday, 15 July 2020

Arwah Cikgu Rosli selamat dikebumikan

KUALA LUMPUR: Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin, menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga guru Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Gajah, Allahyarham Rosli Abdul Aziz, 54 yang maut selepas terjatuh dari balkoni tingkat satu bangunan sekolah itu ketika melakukan persiapan akhir pembukaan semula sekolah, semalam.
Mohd Radzi dalam catatan di Facebook sebentar tadi memaklumkan beliau turut menyertai solat jenazah Allahyarham Rosli di Masjid Besar Tanah Merah, Kelantan selepas solat Subuh pagi tadi.

"Alhamdulillah, usai solat subuh pagi tadi, ratusan jemaah turut menyertai solat jenazah Arwah Cikgu Rosli Abd Aziz di Masjid Besar Tanah Merah.

"Kami dimaklumkan oleh imam Masjid, antara hajat arwah adalah jenazah beliau disolatkan di Masjid Besar Tanah Merah," katanya.

Beliau berkata, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Pondok Lama, Tanah Merah untuk urusan pengebumian.

Dalam catatan sama, Mohd Radzi turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

"Semoga seluruh ahli keluarga arwah diberikan kesabaran, ketabahan dan kekuatan untuk menghadapi ujian ini," katanya.

Dalam perkongsian itu juga, Mohd Radzi turut memuat naik beberapa foto beliau bersama jemaah lain mengusung jenazah Allahyarham.

Kelihatan ramai penduduk yang hadir dan memenuhi ruang masjid bagi memberikan penghormatan terakhir dan menunaikan solat jenazah.

Semalam, Allahyarham Rosli yang juga guru mata pelajaran Matematik disahkan maut akibat parah pada kepala.

Kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu berlaku ketika mangsa melakukan pemeriksaan bersama beberapa guru lain di kawasan balkoni terbabit, bagi memastikan setiap sinki yang dipasang di dalam kelas berfungsi.

We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon