Wednesday, 15 July 2020

Asrama sekolah ruang terhad dibenar beroperasi dengan syarat - KPM

Imej hiasan
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan asrama sekolah yang mempunyai ruang terhad dibenarkan untuk kembali beroperasi secara bersyarat.

Melalui Garis Panduan Pengurusan Asrama dikeluarkan, KPM menetapkan tiga syarat termasuk membabitkan penggunaan bilik khas asrama dijadikan bilik tidur murid.

Selain itu, Kementerian Pendidikan memaklumkan murid dibenarkan berulang alik dari kediaman ke sekolah dengan persetujuan ibu bapa atau penjaga, dengan keutamaan tinggal di asrama perlu diberikan kepada murid berdasarkan ketetapan tertentu.

Antaranya murid yang tinggal jauh dari sekolah; daripada keluarga dalam kategori B40; murid tidak dapat hadir ke sekolah jika tidak diberikan kemudahan tinggal di asrama; murid tinggal di tempat sukar mendapatkan kemudahan pengangkutan dan terdapat ancaman keselamatan; atau ibu bapa, berada atau tinggal di luar negara.

Syarat lain dikenakan ialah asrama sekolah berhampiran boleh digunakan untuk menempatkan murid daripada sekolah berhampiran dengan persetujuan ibu bapa atau penjaga, dengan penempatan diurus dan diselaraskan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

"Tingkat atas dan bawah katil dua tingkat boleh digunakan dengan penjarakan satu meter. Penghadang fabrik selebar satu meter dipasang pada sisi kiri dan kanan katil daripada lapik tilam tingkat atas ke lapik tilam tingkat bawah katil dua tingkat, serta perlu disanitasi sekurang-kurangnya sekali sehari.

"Jika penjarakan katil satu meter tidaak dapat dilaksanakan, pihak sekolah hendaklah meletakkan penghadang antara katil dua tingkat seperti almari dan lain-lain yang bersesuaian," kata kenyataan itu, hari ini.

Mengenai pengurusan dewan makan asrama, kenyataan sama memaklumkan makanan boleh disajikan menggunakan kaedah bufet, berhidang secara individu atau berbungkus, selain pekerja dewan makan atau pramusaji sahaja dibenarkan mencedok makanan.

"Pekerja dewan makan atau pramusaji mesti memakai pelitup muka dan sarung tangan semasa menyedia serta menghidangkan sajian.

"Untuk pengurusan dobi pula, cucian pakaian dengan mesin basuh atau perkhidmatan dobi di asrama adalah secara individu dengan mesin basuh digunakan hendaklah dibersihkan atau disanitasi sebelum dan selepas digunakan," katanya.

Mengulas lanjut, kenyataan itu berkata, pihak sekolah perlu mendapatkan nasihat Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) untuk tindakan lanjut jika ada murid bergejala, selain ibu bapa atau penjaga perlu dimaklumkan mengenai keadaan pelajar terbabit.

Katanya, murid bergejala perlu diletakkan di bilik sakit atau kesihatan dan diasingkan daripada murid sakit lain sementara menunggu untuk dibawa mendapatkan rawatan.

"Selain itu, pelawat tidak digalakkan. Pelawat yang hadir mesti diimbas suhu badan dan perlu memakai pelitup muka semasa berjumpa dengan murid.

"Ibu bapa atau penjaga mempunyai anak dengan imuniti badan rendah digalakkan membekalkan anak dengan pelitup muka secukupnya.

"Pentadbir sekolah disaran memantau kesihatan murid bagi memastikan tiada pelajar bergejala, sebelum kemasukan kohort murid baharu," katanya.

Muat turun SOP ASRAMA SEKOLAH:

We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon