Thursday, 2 July 2020

Buka sekolah: Sekolah lebih faham untuk tentukan model operasi yang sesuai - Guru

Imej via Facebook
Petaling Jaya: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengumumkan semula tarikh pembukaan semula sekolah kepada murid yang tidak terlibat dengan peperiksaan akan bermula pada Rabu, 15 Julai 2020 ini.

KPM juga telah menetapkan tiga model operasi untuk sekolah buat pilihan bersandarkan keperluan murid sekolah masing-masing.

Akhbar dalam talian The Star melaporkan dari tinjauan yang mereka lakukan kepada guru, rata-rata bersetuju dengan apa yang telah digariskan oleh pihak kementerian.

Mereka juga berpendapat, pihak sekolah wajar diberi pilihan dalam menentukan kaedah pengoperasian yang sesuai bagi mereka.

S. Sri Murugan, seorang guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah menengah di Subang Jaya berkata, sekolah beliau berkemungkinan akan memilih Model Operasi yang ke-2.

Ini kerana, sekolah beliau memiliki lebih 1000 murid dan tidak dapat menampung ke semuanya dengan garis panduan yang telah diberikan dalam satu-satu sesi.

Beliau juga berpendapat, pihak KPM wajar mempertimbangkan kebajikan guru yang terpaksa bekerja lebih setelah jumlah bilangan murid terpaksa dipecahkan mengikut garis panduan. Bilangan guru yang tidak mencukupi juga menjadi penyumbang kepada bebanan tugas yang akan bertambah ini.

Koo, seorang guru Tingkatan Enam dari Melaka, mengatakan bahawa sekolahnya mempunyai 1,800 pelajar dan kerana bilik darjah tidak mencukupi, sekolah itu mungkin memilih Model 3.

"Lebih baik sekolah memilih model operasi yang sesuai kerana hanya kami yang mengetahui keadaan sekolah," katanya.

Seorang pengetua dari sekolah menengah lain di Subang Jaya mengatakan bahawa dia akan memilih Model 3 kerana akan memberi peluang kepada semua pelajar untuk bersekolah.

"Kami juga ingin meringankan beban guru kami," tambahnya.

Sumber: The Star


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon