Tuesday, 14 July 2020

Cadangan penebusan ganti cuti rehat dengan wang tunai dikaji semula - Menteri

KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk mengkaji semula cadangan penebusan Ganti Cuti Rehat (GCR) kepada wang tunai selama 75 hari bagi penjawat yang berkhidmat selama 15 tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan, berkata kajian semula itu adalah wajar kerana penebusan awal GCR semasa dalam perkhidmatan tidak menguntungkan penjawat awam.

Beliau menjelaskan, jumlah yang diterima menerusi penebusan awal semasa dalam perkhidmatan adalah jauh lebih rendah berbanding ketika bersara kerana gaji akhir diterima ketika itu lebih tinggi.

Cadangan penebusan GCR yang diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2020 pada 11 Oktober 2019 sepatutnya dibayar awal Januari lalu tetapi belum dilaksanakan.

Pada 31 Mei lalu, Presiden CUEPACS, Adnan Mat, dalam kenyataannya menggesa kerajaan menyegerakan proses pindaan Peraturan Pencen 1980 bagi membolehkan penebusan awal GCR dilaksanakan.

JPA pada 6 Februari lalu telah memaklumkan bahawa kerajaan perlu melakukan pindaan ke atas peraturan yang berkaitan Peraturan Pencen 1980 untuk melaksanakan GCR.

Langkah itu supaya pelaksanaan penebusan awal GCR itu dibuat teratur mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.

We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon