Friday, 10 July 2020

COVID-19: Hong Kong tutup semula sekolah Isnin

HONG KONG: Hong Kong akan menutup semua sekolah selepas wilayah itu merekodkan lonjakan kes penularan tempatan coronavirus.

Menteri Pendidikannya, Kevin Yeung, berkata kerajaan negara itu sudah mengarahkan semua sekolah ditutup bermula Isnin ini, dengan permulaan cuti musim panas diawalkan, selepas bandar itu mencatatkan 'peningkatan mendadak' kes penularan tempatan sejak beberapa hari lalu.

Hab kewangan itu merekodkan 34 kes penularan tempatan pada Khamis, jumlah kes harian tertinggi dalam tempoh lebih tiga bulan.

Yeung berkata, pihak berkuasa sudah mengambil langkah "bagi kebaikan masyarakat dan kesihatan pelajar."

Beliau berkata, pelajar yang dijadualkan mengambil peperiksaan boleh meneruskannya, walaupun mereka perlu memakai pelitup muka dan mengekalkan penjarakan sosial.

Sekolah tinggi awam di Hong Kong ditutup pada Januari lalu pada peringkat awal penularan virus berkenaan dan dibuka semula secara berperingkat bermula Mei, selepas wilayah itu berjaya membendung jangkitan baharu.

Bagaimanapun, kluster baharu muncul sejak dua hari lalu, termasuk membabitkan sebuah rumah jagaan warga emas yang melaporkan sekurang-kurangnya 32 kes.

Sekurang-kurangnya 12 kes baharu yang dilaporkan sejak lima hari lalu diklasifikasikan sebagai tidak diketahui asalnya, sekali gus memerlukan pihak berkuasa bertungkus lumus untuk mengenal pasti cara penyakit itu merebak.

Pihak berkuasa pada Khamis mengumumkan pengenalan semula had jumlah orang untuk berkumpul di restoran, bar dan pusat kecergasan.

Jumlah maksimum lapan orang dibenarkan duduk bersama di restoran, manakala bagi bar, pub dan kelab malam dihadkan empat orang setiap meja. - AFP

We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon