Thursday, 30 July 2020

COVID-19: Tiada kluster sekolah di Sabah - Noor Hisham

PUTRAJAYA: Tiada kluster wabak COVID-19 berlaku di sekolah Sabah, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Sebaliknya, beliau berkata, seorang kanak-kanak yang tidak hadir ke sekolah di negeri itu, disaring kerana demam sebelum didapati positif COVID-19.

"Satu lagi kes dikesan membabitkan seorang kanak-kanak yang mempunyai komplikasi kebakaran dan dimasukkan ke hospital.

"Pensampelan telah dijalankan ke atas pelajar lain serta guru di sekolah terbabit dan tiada yang didapati positif COVID-19, manakala kedua-dua kanak-kanak itu pula sudah dimasukkan ke hospital serta dirawat.

"Yakinlah, tiada kluster yang berpunca dari sekolah membabitkan dua kanak-kanak itu," katanya pada sidang media COVID-19, di sini, hari ini.

Semalam, Jabatan Kesihatan Sabah mengesahkan satu kes positif COVID-19 dikesan membabitkan seorang murid sekolah rendah di negeri ini, Isnin lalu.

Sebelum itu, tular mesej dalam media sosial mendakwa seorang murid sekolah di Inanam dikesan positif COVID-19.

Mengulas laporan mengenai 73 Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA) dan Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Kubang Pasu, Kedah, ditutup mulai semalam pula, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya sudah menjalankan saringan terhadap 143 individu berkaitan Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga, India, di Napoh, Kedah.

Daripada jumlah itu, beliau berkata, enam dikesan positif COVID-19 dan 67 negatif, manakala 70 masih menunggu keputusan ujian saringan serta diletakkan bawah perintah kuarantin di rumah.

"Kita sudah mengenal pasti kluster itu tetapi tidak mencadangkan sekolah atau TADIKA (Taman Didikan Kanak-kanak) ditutup.

"Apa yang perlu dilakukan ialah membersihkan sekolah dan nyahkuman kawasan digunakan bersama.

"Kita sudah menjalankan saringan hingga jam 12 tengah hari tadi," katanya sambil menjelaskan bahawa Kementerian Kesihatan sudah melaksanakan tindakan kesihatan awam di Kedah dan Sabah.

We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon