Wednesday, 15 July 2020

CUEPACS kagum guru beli pelitup muka murid guna duit sendiri

Imej hiasan
SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Ceupacs) mendedahkan terdapat guru-guru membelanjakan ratusan ringgit wang sendiri untuk menyediakan kelengkapan pelindungan diri bagi kegunaan pelajar.

Antara peralatan tersebut ialah pelitup muka, bahan pencuci tangan (hand sanitizer) dan beberapa peralatan lain seperti baldi dan balang yang digunakan untuk murid membasuh tangan.


Presiden Ceupacs, Adnan Mat berkata, walaupun peruntukan untuk menyediakan peralatan perlindungan diri kepada pelajar disediakan oleh pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) tetapi ia tidak mencukupi memandangkan bilangan murid yang ramai serta ia perlu digunakan secara berterusan.

"Ceupacs berharap pihak luar termasuk syarikat-syarikat korporat dan ibu bapa sendiri tampil ke hadapan bagi membantu memberi sumbangan peralatan perlindungan diri.

"Ketika ini kebanyakan guru-guru dengan sukarela menggunakan wang masing-masing bagi membeli peralatan tersebut untuk digunakan oleh pelajar-pelajar," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Adnan berkata, Ceupacs serta wakil-wakil kesatuan di setiap negeri telah mula turun padang ke sekolah bagi melihat persiapan yang dilakukan oleh guru-guru untuk menyambut kehadiran pelajar-pelajar sebelum sesi persekolahan berlangsung.

"Ceupacs mengucapkan syabas dan setinggi penghargaan kepada semua guru-guru dan pentadbir sekolah yang bertungkus-lumus dari awal Jun lalu sehingga hari ini bagi memastikan semua pelajar dapat memulakan sesi persekolahan mereka dalam keadaan yang selamat dan tidak gusar.

"Ceupacs juga berasa kagum dan sangat menghargai pengorbanan guru-guru yang sanggup mengerah keringat mereka melakukan kerja-kerja pembersihan sekolah serta membuat tempat membasuh tangan dengan kreativiti masing-masing," katanya.

Justeru, Ceupacs berharap terdapat syarikat-syarikat korporat dan orang ramai dapat memberikan sumbangan dan bantuan sekali gus dapat menyediakan persekitaran yang selamat untuk murid-murid belajar.

"Jika sebelum ini ramai pihak dan syarikat korporat tampil membantu menyediakan peralatan perlindungan diri kepada barisan petugas hadapan negara semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), masih belum terlewat untuk kita bersama-sama mengambil tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia," katanya.

Adnan turut menyeru agar orang ramai dapat membantu pihak sekolah sebagai menghargai jasa guru-guru.

"Kita masih belum menang sepenuhnya melawan penularan wabak Covid-19 selagi vaksin atau penawarnya tidak ditemui," katanya.

Sumber: Sinar Harian

We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon