Saturday, 25 July 2020

Dalam sekolah patuh SOP, keluar sekolah hilang kepatuhan

Murid mematuhi SOP ketika bersedia untuk pulang.
Imej via Facebook
MELAKA: Waktu dalam sekolah, semuanya mengikut prosedur operasi standard (SOP), tetapi setelah kaki melangkah keluar dari pagar selepas loceng pulang berbunyi, hampir tiada pula SOP dipatuhi.

Itu senario dilihat Utusan Malaysia hasil tinjauan di beberapa sekolah rendah di negeri ini sejak beberapa hari lalu, selepas pembukaan semula sesi persekolahan berikutan penularan pandemik Covid-19.

SOP itu dilihat lebih sukar dikawal bagi murid sekolah tahun satu, dua dan tiga yang baru memulakan sesi persekolahan mereka Rabu lalu, berbanding murid tahun empat hingga enam.

Pemerhatian turut mendapati, hampir 10 orang murid menyerbu peniaga ‘jajan’ bermotosikal yang sudah menanti di luar pagar sekolah.

Turut menjadi sasaran diserbu murid adalah beberapa kedai runcit dan gerai makanan di hadapan sekolah menyebabkan peniaga gagal mempraktikkan norma baharu seperti yang sering dilaungkan ketika ini.

Seorang ibu, Maizatul Syarina Syafie, 39, berkata, situasi itu sudah dijangka dan mendorongnya menyokong laporan akhbar ini yang menggesa kerajaan menutup semula sesi persekolahan bagi murid sekolah rendah.

“Murid tahun satu hingga tiga masih ramai yang tidak faham tentang SOP seperti penjarakan sosial. Setiap kali ambil anak pulang dari sekolah, saya rasa seram, takut dan bimbang melihat keadaan mereka tapi tak boleh nak salahkan guru atau pihak sekolah.

“Sebab itu saya harap kerajaan dapat menutup semula sesi persekolahan bagi sekolah rendah sehinggalah penularan pandemik Covid-19 dapat pulih sepenuhnya,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Ahli Majlis Ter­tinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin sebelum ini menggesa kerajaan menutup semula sekolah rendah selepas mendapati murid masih belum memahami maksud penjarakan sosial selain mengelak wujud kluster baharu membabitkan mereka.

Sumber: Utusan

We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon