Monday, 13 July 2020

Dua kaedah ringankan beban guru - KPPM

Imej hiasan
PUTRAJAYA: Pentadbir sekolah dibenar melaksanakan kaedah bersesuaian bagi mengurangkan beban guru yang mungkin terpaksa mengajar lebih banyak kelas apabila semua pelajar memulakan sesi persekolahan pada Rabu ini.

Kaedah yang boleh dilaksanakan ialah menyusun jadual guru secara inovatif dan kaedah kedua adalah dengan menggabungkan dua atau tiga kelas pelajar tingkatan sama bagi mengikuti proses pembelajaran subjek sama di ruang lebih luas.

Penyusunan jadual guru secara inovatif boleh mengatasi beban guru sekolah satu sesi yang perlu hadir dua sesi akibat penjarakan sosial iaitu guru yang terpaksa mengajar kelas pagi dan petang pada hari sama tidak perlu datang awal pagi dan pulang lewat petang, asalkan kelas mereka dihabiskan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Habibah Abdul Rahim mengakui pematuhan penjarakan sosial akan menyebabkan bilik darjah tidak mencukupi kerana jumlah pelajar dalam satu kelas dihadkan, sekali gus memerlukan pihak sekolah mengambil langkah sesuai dengan keadaan.

Katanya, pihak sekolah boleh melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara gabungan atau mass teaching yang menghimpunkan semua pelajar dari tingkatan sama untuk sesi PdP mata pelajaran sama.

"Pihak sekolah boleh guna dewan sekolah, bilik khas yang luas atau membuka dinding pembahagian di antara kelas jika ada, bagi tujuan berkenaan. Sekolah boleh guna kaedah mass teaching atau team teaching sebab jika dua kelas berpecah jadi tiga kelas, gurunya juga daripada dua orang perlu ada tiga.

"Jika buat mass teaching, seorang guru mengajar, seorang lagi boleh bantu sesi pembelajaran itu. Jika ada kekurangan guru bagi satu mata pelajaran seperti tidak cukup guru Bahasa Inggeris, kelas Bahasa Inggeris boleh guna ruang besar. Selepas itu, pelajar kembali ke kelas asal untuk subjek seterusnya," katanya.

Mengulas kaedah mengurangkan beban guru sekolah satu sesi yang perlu hadir dua sesi susulan pematuhan penjarakan sosial oleh pelajar, Habibah memberi contoh, guru terbabit dibenarkan hadir di sekolah pada jam 10 pagi dan meneruskan sesi pengajaran sehingga awal tengah hari.

Katanya, guru berkenaan kemudian boleh terus pulang selepas selesai mengendalikan kelas iaitu lebih awal daripada sesi persekolahan sebelah petang tamat.

"Kita banyak bergantung kepada kebijaksanaan pentadbir sekolah mengatur jadual waktu supaya setiap kelas mempunyai guru untuk pengajaran dan pembelajaran.

"Jika guru terpaksa mengajar dua sesi, mereka boleh datang lebih lewat, tempoh berada di sekolah masih sama, tetapi tidak perlu berada sepenuhnya dalam dua sesi itu. Guru dapat terus mengadakan sesi pembelajaran, tetapi kita mahu ambil kira juga beban kerjanya," katanya.

Pembukaan semula sesi persekolahan yang ditutup bermula 18 Mac lalu akibat PKP susulan penularan COVID-19, dibuat secara berperingkat dengan pelajar peperiksaan utama menjadi kumpulan pertama kembali ke sekolah pada 24 Jun lalu.

Mereka membabitkan pelajar calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta peperiksaan antarabangsa yang setara bagi seluruh negara.

Pembukaan semula sesi persekolahan pada 24 Jun itu membabitkan 500,444 pelajar dari 2,440 sekolah seluruh negara.

Pada 1 Julai lalu, Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Jidin mengumumkan sesi persekolahan bagi pelajar Tingkatan Satu hingga Empat dan kelas peralihan pada 15 Julai, manakala Tahun Satu hingga Empat akan kembali ke sekolah bermula 22 Julai.

Pelajar Tingkatan Empat dan Enam semester satu 2020 di sekolah berasrama di bawah Kementerian Pendidikan juga akan kembali ke sekolah pada 15 Julai, manakala Tingkatan Satu, Dua dan Tiga pada 3 Ogos, tetapi akan meneruskan pembelajaran di rumah sehingga tarikh itu.

Keputusan itu terpakai kepada Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), Sekolah Sukan Malaysia (SSM), Sekolah Sukan Negeri (SSN) dan Sekolah Seni Malaysia (SSeM).

‘Penggiliran PdP di kelas, rumah lebih berkesan'


Sistem penggiliran proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah dan rumah, disifatkan kaedah lebih berkesan bagi mengurangkan beban guru apabila semua pelajar kembali ke sekolah mulai Rabu ini.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang mengemukakan cadangan itu, menyifatkan langkah berkenaan mampu menangani masalah kesesakan dalam kelas dan kawasan sekolah yang boleh menyebabkan ketidakpatuhan penjarakan sosial.

Presiden NUTP, Aminuddin Awang, kaedah dicadangkan kesatuan itu bukan membabitkan penggiliran aliran atau kelas, tetapi penggiliran dalam kelas itu sendiri.

"Contohnya dalam satu kelas ada 30 pelajar, 15 daripada mereka diletak dalam kumpulan A dan 15 lagi dalam kumpulan B. Kumpulan A hadir ke sekolah pada Ahad, Isnin dan Selasa, kumpulan B tidak perlu hadir pada tiga hari terbabit, sebaliknya belajar di rumah.

"Belajar di rumah pula tidak perlu secara langsung dalam talian kerana guru juga boleh menghantar bahan belajar ke rumah pelajar dengan cara apa sekalipun. Dua kumpulan ini akan bergilir-gilir belajar di sekolah dan di rumah," katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Katanya, kaedah itu adalah hasil kajian kesatuan bersama beberapa pakar dan guru yang boleh membantu sekolah tidak mempunyai ruang mencukupi untuk membahagikan pelajar dalam satu kelas ke beberapa kelas lain.

Selain itu, beliau berkata, cadangan berkenaan juga dapat memastikan pematuhan penjarakan sosial serta tidak berlaku keciciran PdP dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kita setuju kebenaran diberikan kepada pentadbiran sekolah melaksanakan langkah mengikut kesesuaian bagi mengurangkan beban guru yang terpaksa mengajar lebih banyak kelas apabila semua pelajar memulakan sesi persekolahan.

"Namun, bagi mengelak guru terbeban, dari awal lagi kita cadangkan penggiliran kelas, tetapi bukan ikut aliran ataupun kelas. Sebab itu, dari awal kita sudah banyak kali nyatakan bahawa kita cadangkan sistem penggiliran dalam kelas sendiri," katanya.

Dalam tempoh sekarang, Aminuddin berkata, sistem penggiliran atau dirujuk sebagai Model 3 dilihat lebih berkesan meskipun Kementerian Pendidikan memilih sistem satu sesi (Model 1), manakala Model 2 pula adalah sistem dua sesi.

"Kementerian lebih cenderung Model 1, sistem penggiliran adalah pilihan ketiga. Saya rasa tidak banyak sekolah terbabit dengan sistem penggiliran, mungkin keperluan di sekolah tertentu lebih sesuai menggunakan Model 1.

"Bagaimanapun, hasil kajian dengan guru, sistem penggiliran lebih berkesan seperti dicadangkan NUTP," katanya.

We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon