Wednesday, 8 July 2020

Guru wanita rugi RM333,000 ditipu Macau Scam

ALOR SETAR: Seorang guru wanita kerugian RM333,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam menggunakan taktik kononnya mangsa terbabit pengedaran dadah dan menghasilkan wang haram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil negeri, Superintendan Elias Omar, berkata mangsa, 51, yang bertugas di sebuah sekolah di Changlun, dekat sini, menerima panggilan daripada sindiket pada 26 Jun lalu.

Katanya, suspek mendakwa dirinya sebagai wakil Pos Malaysia dan memaklumkan mangsa ada menghantar bungkusan mengandungi kad pengenalan serta kad bank miliknya.

"Panggilan kemudian disambung kepada lelaki lain kononnya pegawai polis dengan nama Inspektor Mazlan, dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Seremban.

"Lelaki itu memaklumkan mangsa terbabit sindiket pengedaran dadah dan menghasilkan wang secara haram, sebelum memintanya membuat bayaran bagi menyelesaikan kes berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Elias berkata, suspek yang bimbang kes diketahui pihak sekolah, membuat pembayaran sebanyak 37 kali ke empat akaun bank secara berperingkat dengan jumlah keseluruhan RM333,000 antara 26 Jun hingga 3 Julai lalu.

"Pada 6 Julai lalu, mangsa sekali lagi menerima panggilan memaklumkan dia disabitkan kesalahan dan diarah memasukkan wang RM100,000 untuk tujuan jaminan," katanya.

Elias berkata, mangsa menyedari dirinya ditipu membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon