Saturday, 18 July 2020

Kekalkan peraturan pakai pelitup muka di sekolah - PIBGN, PAGE

KUALA LUMPUR: Ibu bapa menggesa kerajaan mengkaji semula keputusan melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) yang tidak lagi mewajibkan pemakaian pelitup muka di sekolah.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan, berpandangan peraturan pemakaian pelitup muka perlu dikekalkan buat masa ini.

Jelasnya, kelonggaran itu dilihat terlalu awal, selain ia juga bertentangan dengan SOP kerajaan yang menggalakkan pemakaian pelitup muka di khalayak ramai.

"Saya rasa peraturan ini perlu dikekalkan kerana ia seolah-olah mewujudkan dua peraturan berbeza, memandangkan kerajaan menekankan perlunya memakai pelitup muka di luar sekolah.

"Jika di luar ditekankan perlu pakai pelitup muka, terutama di tempat ramai orang, kenapa dalam sekolah dilonggarkan sedangkan lokasi seperti kelas juga ada ramai orang.

"Saya harap kerajaan teliti semula kelonggaran ini kerana ia meningkatkan risiko jangkitan dan gelombang kedua COVID-19, khususnya kepada murid sekolah, selain bertentangan konsep 'kita jaga kita'," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, memaklumkan pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan di sekolah, sebaliknya pihak sekolah hanya perlu menyediakan pelitup muka jika ada pelajar atau kakitangan sekolah yang menunjukkan gejala ketika sesi persekolahan.

Mengulas lanjut, Mohamad Ali berkata, kelonggaran itu juga bertentangan dengan saranan kerajaan dan Kementerian Kesihatan yang menasihatkan murid atau individu bergejala untuk tidak hadir ke sekolah dan tempat kerja.

"Buat masa ini, terlalu awal untuk diberi kelonggaran ini. Mungkin perlu tunggu sebulan atau dua bulan lagi, atau sehingga tamat Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)," katanya.

Berkongsi pandangan sama, Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa untuk Pendidikan (PAGE), Datin Noor Azimah Rahim, juga tidak bersetuju dengan kelonggaran itu yang disifatkannya terlalu awal.

"Ketika ini, kalau nak pergi ke pasar tani pun kita tidak dibenarkan masuk jika tidak pakai pelitup muka. Jika pelitup muka penting di pasar tani, apatah lagi sekolah kerana risiko jangkitan pada kanak-kanak," katanya.

Mengakui kelonggaran itu bertentangan dengan SOP diumumkan kerajaan, Noor Azimah berharap ibu bapa diberi pilihan jika mahu anak mereka tetap memakai pelitup muka di sekolah, sekiranya kerajaan kekal melaksanakan kelonggaran berkenaan.

Katanya, keputusan untuk tidak mewajibkan pemakaian pelitup muka di sekolah mungkin dibuat kerana ada murid yang rimas kerana terpaksa memakainya seharian.

"Saya tak setuju (tidak wajib pakai pelitup muka di sekolah), tapi wajar ibu bapa diberi tanggungjawab untuk pilih sama ada mahu anak mereka memakai pelitup muka atau tidak.

"Jika ibu bapa rasa mustahak, maka pastikan anak mereka pakai pelitup muka di sekolah. Jika ada yang rasa tak penting, terpulang, tapi mereka perlu sedar ia menambah risiko jangkitan pada semua pelajar di sekolah," katanya.

Sumber: Berita Harian

We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon