Sunday, 12 July 2020

Kelas KAFA dibuka semula 2, 3 Ogos

KUALA LUMPUR: Sebanyak 5,619 Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) akan dibuka semula pada 2 dan 3 Ogos ini.

Kelas bermula pada Ahad (2 Ogos) bagi negeri dalam Kumpulan A, manakala negeri bagi Kumpulan B memulakan kelas pada Isnin (3 Ogos).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata ketetapan itu dibuat selepas mengambil kira kepentingan semua pihak dan persediaan sepenuhnya premis KAFA serta pengurusan tadbir urus sekolah kebangsaan.

"Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menetapkan bahawa pembukaan semula KAFA pada Ahad, 2 Ogos bagi negeri-negeri Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan Isnin, 3 Ogos bagi negeri Kumpulan B (Kuala Lumpur, Labuan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Putrajaya, Sabah, Sarawak, Selangor).

"Berdasarkan perbezaan tempoh masa pembukaan semula KAFA dengan pembukaan sekolah rendah, saya berharap pengurusan pembukaan semula KAFA dapat berjalan dengan baik," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Zulkifli berkata, JAKIM turut menyedari pemilihan model sekolah bagi sekolah kebangsaan akan memberi kesan kepada operasi KAFA.

"Merujuk kepada perutusan Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin pada 1 Julai, sesi persekolahan bagi murid Tahun 5 hingga 6 akan bermula pada Rabu ini, manakala bagi murid Tahun 1 hingga 4 pada 22 Julai.

"Kementerian Pendidikan juga mengumumkan tiga pilihan model pengoperasian pembukaan penuh sekolah berdasarkan kapasiti sekolah.

"Sehubungan itu, penyelarasan perlu dibuat di antara agensi pelaksana negeri dengan jabatan pendidikan negeri bagi memastikan KAFA dapat dilaksanakan dengan baik," katanya.

Zulkifli berkata pentadbir premis KAFA mesti memastikan garis panduan pengurusan pembukaan semula sekolah dipatuhi.

"Saya berharap dengan persediaan yang rapi oleh semua pihak, pembukaan semula KAFA akan dapat berjalan dengan lancar dan anak-anak kita dapat bersekolah dalam keadaan yang selamat," katanya.

We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon