Friday, 17 July 2020

Kemalangan di sekolah, PGB wajar didakwa - Safety Management Academy

Ada yang memilih meletakkan kerusi
di atas meja dankemudian memanjatnya 
untuk melaksanakan arahan terhadap kerja
di tempat tinggi seperti penggantian lampu atau 
pembersihan kipas.
- Gambar hiasan / Safety Management Academy
INSIDEN malang yang menimpa Allahyarham Cikgu Rosli Abdul Aziz, 54 dari SK Batu Gajah, Tanah Merah, Kelantan pada 14 Julai yang lalu adalah satu tragedi yang memilukan.

Beliau dipercayai tergelincir jatuh pada ketinggian tiga meter ketika sedang melakukan pemeriksaan kerja-kerja penyelenggaraan di sekolah berkenaan sebagai persediaan pembukaan semula sekolah selepas ditutup 4 bulan ekoran penularan COVID-19.

Allahyarham disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala berikutan terkena bahagian longkang.

Apa yang pasti, kejadian ini bukanlah kemalangan maut yang pertama seumpamanya berlaku di sekolah.

Masih segar dalam ingatan saya beberapa kemalangan maut lain yang melibatkan warga sekolah, contohnya kes yang paling mencuri tumpuan orang ramai iaitu kejadian dimana seorang pelajar perempuan terbunuh akibat terkena bilah pisau traktor mesin rumput yang melayang di SMK Tuanku Abd Rahman, Gemas pada Februari 2018.

Insiden kemalangan yang menyebabkan kecederaan atau kematian kepada warga sekolah sama ada guru, kakitangan mahupun pelajar adalah membimbangkan dan amat dikesali.

Ianya tidak sewajarnya berlaku serta mampu dielakkan jika elemen keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) dititik beratkan oleh pihak pentadbir sekolah khususnya dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) amnya.

Sekolah yang dikendalikan oleh pihak KPM merupakan satu tempat kerja di bawah kategori industri perkhidmatan awam dan pihak berkuasa berkanun sepertimana yang tersenarai dalam Jadual Pertama Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994.

Hal ini adalah selaras dengan Surat Pekeliling Am Bil. 3 Tahun 2019 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri pada 1 Oktober 2019 berkaitan pematuhan terhadap akta tersebut oleh semua kementerian, jabatan, agensi kerajaan dan badan berkanun persekutuan.

Oleh itu, pihak pentadbir sekolah dan KPM adalah tertakluk untuk mematuhi akta berkenaan, antaranya ialah memenuhi kewajipan am majikan seperti yang termaktub dalam Seksyen 15 akta iaitu untuk memastikan, setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan semua pekerjanya semasa bekerja.

Ini bermakna, KPM sebagai majikan, mahupun Pengetua atau Guru Besar sebagai wakil majikan di sekolah, adalah bertanggungjawab untuk memastikan semua kerja yang hendak dilaksanakan samada di dalam atau di luar kawasan sekolah adalah selamat dan bebas dari risiko kesihatan kepada pekerja mereka (guru, kakitangan dan kontraktor) serta orang lain yang boleh terjejas dari kerja tersebut (pelajar, pelawat dan orang awam).

Namun, acapkali terdengar rungutan dari kalangan guru yang menyatakan, sering arahan kerja yang boleh mendedahkan mereka kepada bahaya dikeluarkan, tanpa menghiraukan aspek keselamatan, kesihatan dan kebajikan mereka yang terlibat.

Sebagai contoh, arahan terhadap kerja di tempat tinggi seperti penggantian lampu atau pembersihan kipas tanpa menyediakan tangga yang sesuai. Akhirnya, ada yang memilih untuk meletakkan kerusi di atas meja dan kemudian memanjatnya.

Akhirnya apabila sesuatu kecelakaan berlaku dalam melaksanakan arahan tersebut, sering terjadi semua kesalahan diletakkan di bahu mangsa untuk dipikul berseorangan, sedangkan pihak yang mengeluarkan arahan berkenaan mengambil sikap 'lepas tangan'.

Amat malang jika perkara ini berlaku dalam sebuah institusi kerajaan yang seharusnya menjadi ejen perubahan utama yang akan bertindak sebagai acuan dan model kepada kualiti penyampaian dan pembentukan Budaya Pencegahan di tempat kerja.

Bukanlah ingin menafikan hak majikan untuk memberikan arahan kerja kepada orang bawahan, tetapi sewajarnya segala aspek berkaitan keselamatan, kesihatan dan kebajikan mereka telah diambil kira dan disediakan.

Antaranya, dilakukan penaksiran risiko ke atas kerja-kerja yang bakal dilaksanakan, mewujudkan maklumat dan arahan berkaitan kerja, menjalankan latihan yang berkaitan, peralatan kerja yang sesuai telah disediakan, seterusnya penyeliaan dilakukan sepanjang masa kerja-kerja dijalankan.

Kegagalan melaksanakan tanggungjawab tersebut membolehkan majikan didakwa dan apabila disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya.

Kejadian kemalangan yang menimpa Allahyarham Cikgu Rosli jelas berlaku dalam kawasan sekolah yang dikategorikan sebagai tempat kerja. Oleh itu, kemalangan ini juga dikategorikan sebagai kemalangan tempat kerja mengikut AKKP1994.

Menjadi kewajipan kepada majikan (Guru Besar atau KPM) untuk memaklumkan kemalangan maut tersebut kepada mana-mana pejabat Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) terdekat secepat mungkin dan menghantar laporan kemalangan dengan menggunakan borang yang diluluskan (Borang JKKP6 dan JKKP9) dalam masa 7 hari selaras dengan kehendak Peraturan 5 (1), Peraturan Pemberitahuan Mengenai Kemalangan, Kejadian Merbahaya, Keracunan Pekerjaan danPenyakit Pekerjaan) 2004.

Sementelah di pihak JKKP pula wajib menjalankan siasatan kemalangan bagi mengenalpasti punca & bagaimana kemalangan tersebut berlaku selain mengenalpasti sebarang unsur kecuaian dan ketidakpatuhan majikan terhadap akta berkaitan bagi tujuan penambahbaikan serta pendakwaan.

Kita mendoakan agar tragedi ini menjadi episod terakhir dari banyak episod sedih kemalangan maut membabitkan warga sekolah.

Oleh itu, besar harapan kita agar pihak JKKP dapat mengambil tindakan segera seperti berikut :

- melakukan siasatan kemalangan terhadap kemalangan ini dengan segera dan telus
- mengeluarkan notis larangan (NOP) atau notis pembaikan (NOI) kepada pihak majikan
- mengumumkan dapatan siasatan kemalangan yang telah dilakukan kepada awam
- melakukan pendakwaan kepada pihak majikan supaya ianya dapat dijadikan satu kes rujukan pada masa akan datang, selain dijadikan pengajaran oleh pihak yang terlibat

* Takziah buat ahli keluarga Allahyarham Cikgu Rosli atas kehilangan orang yang tersayang.

* Penulis adalah Perunding Keselamatan & Kesihatan Awam, Safety Management Academy Sdn Bhd.

Sumber: Astro Awani

We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon