Monday, 6 July 2020

Kementerian Kesihatan sedia bantu guru kaunselor di sekolah

Dr Adham (tengah) menyampaikan sumbangan
pelitup muka dan sabun antiseptik kepada sekolah
dalam Parlimen Tenggara di SMK Tun Habab, pagi ini.
- NSTP/Omar Ahmad

KOTA TINGGI: Seramai 148 kaunselor ditugaskan di Klinik Kesihatan seluruh negara bagi menangani masalah trauma terhadap pandemik COVID-19.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata kebimbangan psikososial akibat COVID-19 bukan sahaja berlaku di negara ini, tetapi membabitkan negara lain yang terjejas akibat pandemik itu.

Katanya, individu atau pelajar yang mengalami trauma akibat COVID-19 atau tahap keyakinan yang rendah terhadap norma baru boleh mendapatkan rawatan dengan segera.

"Setakat ini tiada laporan berhubung kebimbangan psikososial tetapi KKM sudah bersedia daripada segala sudut, termasuk penyediaan kaunselor bagi menangani kes ini, sekiranya ada.

"Oleh sebab itu, bagi melicinkan proses pembelajaran, kita mahu dalam pemikiran anak-anak di sekolah yakin kerana mereka adalah di antara golongan yang sentiasa dijaga," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan pelitup muka dan sabun kepada 56 sekolah dalam kawasan Parlimen Tenggara di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Habab di sini, hari ini.

Dr Adham berkata, KKM menggariskan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi pelajar dan pihak sekolah agar tiada kewujudan kluster sekolah apabila dibuka sepenuhnya nanti.

Katanya, antara kandungan garis panduan itu ialah saringan suhu badan, penjarakan sosial dalam kelas serta kantin dan tidak mengadakan perhimpunan.

"Kita mahu mereka patuhi dan yakin dengan SOP ini, malah sehingga kini penularan wabak COVID-19 dapat ditangani hasil kerjasama rakyat dan pemimpin.

"Sehingga kini keadaan bertambah baik dengan pembukaan pelbagai sektor ekonomi dan juga sektor pendidikan. Pematuhan rakyat terhadap SOP sangat penting dalam hal ini," katanya.

We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon