Saturday, 18 July 2020

Murid wajib pakai pelitup muka jika bergejala - Ismail Sabri

BERA: Hanya pelajar yang bergejala seperti demam dan batuk saja diwajibkan memakai pelitup muka di sekolah, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismai Sabri Yaakob.

Beliau berharap orang awam tidak lagi keliru dengan ketetapan itu kerana sejak awal lagi, kerajaan tidak mewajibkan pelajar memakai pelitup muka apabila berada dalam kawasan sekolah.
"Isu pemakaian pelitup muka dalam kalangan pelajar sekolah sepatutnya tidak lagi timbul lagi dan boleh dianggap sudah selesai.

"Sebelum ini (keputusan) sudah jelas, tidak ada istilah pelajar sekolah wajib memakai pelitup muka, kecuali pelajar yang bergejala seperti demam dan batuk saja," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Bengkel Keusahawanan Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Dalam Mendepani Cabaran Norma Baharu di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga AIM, Datuk Junaidah Kiting dan Pengarah Urusan AIM, Mohamed Shamir Abdul Aziz.

Beliau mengulas kebimbangan ibu bapa yang menggesa kerajaan mengkaji semula keputusan melonggarkan peraturan pelajar sekolah tidak diwajibkan memakai pelitup muka di sekolah.

Ibu bapa menyifatkan kelonggaran itu terlalu awal selain mendakwa ia bertentangan dengan prosedur operasi standard (SOP) kerajaan yang menggalakkan pemakaian pelitup muka di khalayak ramai.

Garis Panduan Kementerian Pendidikan menetapkan pihak sekolah perlu menyediakan sabun atau cecair nyahkuman serta melakukan saringan gejala dan suhu badan pelajar atau orang awam yang memasuki sekolah.

Sementara itu katanya, usahawan AIM perlu bangkit semula dalam perniagaan mereka walaupun aktiviti ekonomi terhenti selama empat bulan lalu akibat penularan COVID-19.

Katanya, usahawan AIM juga wajar bersyukur apabila kerajaan menyediakan pelbagai bantuan dan pakej rangsangan bagi membantu mengekalkan perusahaan serta perniagaan.

We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon