Thursday, 23 July 2020

Perkenal program keselamatan, kesihatan di sekolah

BARU-BARU ini seorang guru sekolah berusia 54 tahun dari Sekolah Kebangsaan Batu Gajah di Tanah Merah, Kelantan maut akibat terjatuh dari balkoni tingkat 1 bangunan sekolah berkenaan. 

Kejadian itu berlaku ketika beliau sedang memeriksa bekalan air untuk sinki di sekolah. Insiden menyayat hati ini mesti dipandang serius oleh Kementerian Pendidikan. 

Allahyarham Rosli Abdul Aziz menjalankan tugasnya ketika membuat persiapan terakhir untuk pembukaan semula sekolah yang sekian lama ditutup kerana penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Saya mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Tragedi seperti ini dapat dielak sekiranya konsep keselamatan dan kesihatan di tempat kerja dipraktikkan di sekolah. Berdasarkan tragedi terbaru ini, saya ingin menyeru agar Kementerian Pendidikan dapat memperkenalkan program khususnya keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) di sekolah. Ia penting sebagai sebahagian usaha untuk memberi kesedaran dan meningkatkan keselamatan di tempat kerja di sekolah kepada semua guru dan kakitangan. 

Program ini wajar dilaksanakan memandangkan sekolah sebagai tempat kerja sesuai dengan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994. Undang-undang ini merangkumi semua industri yang menggunakan 'orang di tempat kerja' dan 'yang lain'. Dalam kes sekolah, terma 'orang yang bekerja' adalah guru, pentadbiran dan staf sokongan yang lain. Sementara terma 'yang lain' merujuk mereka yang dipengaruhi oleh aktiviti orang yang bekerja terutamanya pelajar. 

Penerapan OSHA 1994 ke sekolah sebagai tempat kerja bertujuan menjadikan sekolah selamat dan sihat untuk guru, pelajar dan pelawat. Matlamat utama program ini adalah bertujuan untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan bagi mereka yang bekerja. 

Selain itu ia juga bertujuan melindungi pelajar daripada risiko keselamatan dan kesihatan yang berkaitan aktiviti orang di tempat kerja. Program OSH juga mampu mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dan sihat (pejabat, makmal, kantin, tandas, asrama, padang dan lain-lain) sesuai dengan psikologi dan fisiologi orang yang bekerja. 

Kesedaran OSH tidak boleh terhad kepada guru dan kakitangan sekolah sahaja, tetapi turut diterapkan kepada pelajar. Ini dapat dilakukan melalui pendidikan, kesedaran, latihan dan pameran. Latihan dan penyebaran maklumat adalah elemen utama dalam memastikan bahawa pekerja mengetahui risiko yang mereka hadapi di tempat kerja dan cara bekerja dengan selamat untuk menangani risiko berkenaan. Selain itu, memupuk kesedaran pada peringkat awal seperti di sekolah sangat penting dalam mewujudkan tempat kerja yang selamat dan sihat. 

Diharapkan program OSH di sekolah dapat memberi manfaat kepada pelajar yang akan membentuk tenaga kerja masa depan negara dan akhirnya menyumbang untuk menjadikan keselamatan di tempat kerja sebagai budaya dan cara hidup. 

Melalui latihan, pendidikan serta promosi keselamatan dan kesihatan, pihak sekolah akan lebih menyedari potensi bahaya keselamatan dan kesihatan di semua bahagian sekolah dan lebih bersedia menghadapinya. Kerja penyelenggaraan untuk semua bangunan sekolah dan kemudahan lain juga harus diberi perhatian serius oleh Kementerian Pendidikan dengan menyediakan kakitangan teknikal yang lebih mahir di semua sekolah daripada bergantung kepada guru semata-mata untuk melakukannya. 

Tan Sri Lee Lam Thye 
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat

We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon