Monday, 27 July 2020

Pesara guru rugi RM1.06 juta diperdaya 'Sarjan Chong'

PETALING JAYA - [DIKEMASKINI] Seorang pesara guru kerugian RM1.06 juta selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Pos Laju, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, mangsa seorang wanita berusia 71 tahun telah menerima panggilan yang mendakwa daripada pegawai Pos Laju pada 25 Mei lalu.

“Suspek memaklumkan mangsa menghantar barang terlarang dari Kepong, Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Sabah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini, hari ini.

Nik Ezanee berkata, panggilan itu kemudian disambungkan kepada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Chong dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah.

"Mangsa diberitahu telah bersekongkol dengan seorang penjenayah dan diugut jangan beritahu sesiapa mengenai perkara itu.

"Bagi mengelakkan dari ditangkap, mangsa diminta oleh suspek untuk memindahkan wang dari akaun simpanannya ke dalam 10 akaun suspek secara pindahan atas talian secara berperingkat pada 15 Jun hingga 23 Julai," katanya.

Beliau berkata, usaha mengesan suspek yang terlibat masih dijalankan.

"Orang ramai dinasihatkan tidak mudah percaya dan mendedahkan maklumat peribadi dan akaun bank kepada mana-mana individu tidak dikenali," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon