Wednesday, 29 July 2020

Sistem saraan baharu penjawat awam perlu kajian teliti

KUALA LUMPUR: Pembaharuan dalam sistem saraan penjawat awam masih memerlukan pertimbangan teliti selain pelaksanaannya amat bergantung kepada keupayaan kewangan negara.

Ketua Pengarah, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman, berkata kajian menyeluruh perlu dilakukan sebelum Sistem Saraan Malaysia (SSM) ditambah baik atau hendak digantikan.

"Kita akan kaji dulu bersama pihak lain termasuk Kementerian Kewangan untuk melihat kebolehlaksanaannya. Kali terakhir kita mengkaji sistem saraan ini agak terkebelakang dan kita perlu melihat sama ada mampu atau tidak.

"Ia bergantung kepada keupayaan kewangan kita dan kajian perlu dilakukan sebelum diangkat kepada Kabinet untuk melihat ke mana arahnya selepas itu," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan surat kenaikan pangkat kepada pegawai pakar bidang khusus (SME) Jabatan Kerja Raya (JKR), di Melaka, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) supaya sistem saraan baharu dilaksanakan susulan penetapan gaji minimum penjawat awam yang digunakan ketika ini berada di bawah paras Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK).

Presidennya, Adnan Mat, dipetik sebagai berkata, ketika ini kerajaan masih mengekalkan SSM yang ditambah baik selepas melalui beberapa siri pemansuhan antaranya Sistem Saraan Baru (SSB) pada 1992 dan Jawatankuasa Gaji Kabinet pada tahun 1976.

Sementara itu, Mohd Khairul berkata, pihaknya mengalu-alukan cadangan daripada CUEPACS terhadap pelaksanaan sistem saraan baharu itu.

Dalam pada itu, beliau berkata, analisis JPA terhadap impak pelaksanaan tugas khas SME (SSA), kerajaan dianggarkan dapat menjimatkan kos sebanyak RM19 juta dalam aspek khidmat rundingan, pelaksanaan projek dan program latihan sejak ia dilaksanakan pada tahun 2016.

Katanya, JKR adalah agensi pertama yang melaksanakan inisiatif SME selepas Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 7 Tahun 2016: Kemajuan Kerjaya Laluan Pakar Bidang Khusus bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan diwartakan.

"Sehingga 24 Julai lalu, sebanyak 70 bidang kepakaran sudah dibangunkan dan 69 pegawai perkhidmatan awam Persekutuan dari pelbagai skim perkhidmatan diiktiraf sebagai pakar bidang khusus," katanya.

We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon