Saturday, 18 July 2020

Syor kaedah ‘problem-based learning’ di sekolah

SEKOLAH di seluruh negara mula dibuka secara berperingkat mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM). Pembukaan sekolah dalam suasana normal baharu tentu memerlukan kawalan teratur dan tegas kerana jika berlaku penularan dalam kluster sekolah proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) akan terganggu dalam jangka panjang.

Ini akan menimbulkan kegusaran ibu bapa dan tentu kehadiran pelajar ke sekolah menjadi tidak menentu. Namun, perkara luar jangkaan ini sudah difikirkan dalam pengurusan risiko peringkat tertinggi KPM dan KKM.

Pelaksanaan PdP di sekolah memerlukan pendekatan lebih berkesan dan mudah dalam keadaan negara masih berdepan COVID-19. Pendekatan itu perlu disesuaikan dengan kurikulum kebangsaan.

Pelbagaikan kaedah pembelajaran


Bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) banyak pendekatan penyampaian pembelajaran diutarakan pakar pendidikan negara. Namun, pendekatan penyampaian pembelajaran perlu dipelbagaikan sesuai dengan keupayaan pelajar menerima dan membiasakan diri dengan suasana normal baharu.

Contohnya, kaedah segerak, tidak segerak dan offline yang semuanya berteraskan penggunaan media. Begitu juga pembelajaran teradun menggabungkan pembelajaran di kelas dan dalam talian hingga pelajar dapat mengawal masa, kadar dan tempat pembelajaran mereka.

Pembelajaran teradun (blended learning)


Pembelajaran teradun perlu dirancang guru yang menentukan kombinasi sesuai untuk mereka dan pelajar. Semua pendekatan atau kaedah ini sudah dan pernah dilakukan ketika fasa awal PKP di seluruh negara tempoh hari.

Pendekatan itu mungkin lebih sesuai dilaksana pada peringkat pengajian tinggi. Dengan keadaan penerimaan dan keupayaan diri serta penggunaan media penyampai dalam kalangan pelajar sekolah menengah dan rendah di seluruh negara, pembelajaran berasaskan masalah dirasakan lebih mudah pelaksanaannya walaupun pada asasnya media sebagai alat pengantaraannya.

Pembelajaran berasaskan masalah (problem-based learning)


Pembelajaran berasaskan masalah (PBM) antara pilihan yang ada untuk dicadangkan dilaksanakan, selain pembelajaran lain. Proses pembelajaran sedia ada dengan hasil pembelajaran kebiasaannya itu ditekankan dalam bentuk daya ingatan, pengetahuan dan kefahaman.

Proses pembelajaran boleh juga dilakukan kepada individu dan kolaboratif antara pelajar dengan bantuan keluarga dan masyarakat. Ini memberi gambaran pendekatan pembelajaran berasaskan masalah agak berbeza.

Menurut pakar dan perunding dan ketua jurulatih utama dari Malaysian Assocation Of Problem-Based Learning, masalah dunia sebenar dijadikan asas kepada pembelajaran. Keperluan menambah elemen dalam talian dalam kurikulum guru di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) seperti disebutkan Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Habibah Abdul Rahim ialah perkembangan baik dan berguna kepada bakal guru dan guru sedia ada.

Pendedahan kursus jangka pendek melalui dalam talian bukan sahaja menjimat kos dan masa, bahkan membentuk budaya proses pembelajaran sepanjang hayat.

Masalah dunia sebenar dijadikan elemen asas kepada pendekatan pembelajaran berasaskan masalah. Masalah ini kemudian direka bentuk semula menjadi masalah autentik dan dikemukakan kepada pelajar untuk dipelajari secara aktif dan kolaboratif.

Pendekatan diagnostik atau inkuiri khusus dilatih kepada pelajar untuk mereka gunakan dalam proses pembelajaran. Walau pun pendekatan ini diguna pakai dalam kebanyakan mata pelajaran, penekanan cara lebih berkesan belum diusahakan.

Di KPM dan universiti awam (UA) tentunya lebih arif dalam bidang ini dan sudah ada dilaksanakannya. Pendekatan diagnostik atau inkuiri ini dijalankan berkumpulan dengan pelajar akan membabitkan diri secara aktif dan reaktif dalam proses sumbang saran bagi memahami senario masalah dikemukakan.

Menurut jurulatih utama perunding berkenaan, pelajar akan meneruskan proses pembelajaran secara terarah kendiri untuk meneroka ilmu, kemahiran dan nilai berkaitan hasil diagnostik atau inkuiri yang dijalankan sebelum itu.

Selepas itu, pelajar akan membabitkan diri dengan proses pembelajaran secara proaktif dan preaktif dengan ilmu, kemahiran dan nilai baharu akan diterokai dan dibina.

Masalah akan timbul pada peringkat sekolah dengan keupayaan dan pencapaian pelajar berbeza. Sama ada dalam masa proses pembelajaran mahu pun kemahiran dan menguasai penggunaan media meskipun telefon bimbit sentiasa berada dalam pegangan dan kawalan mereka. Mencari data dan fakta tentunya masih ramai teraba-raba. Bantuan ibu bapa atau ahli keluarga dan masyarakat setempat amat diperlukan jika pendekatan ini ingin diguna pakai.

Apakah perlu diadakan kursus penggunaan cara berkesan telefon bimbit dalam menjadikan ia antara medium pembelajaran. Bagaimana dan cara mana ia diberi ruang kepenggunaannya di sekolah dan di luar sekolah. Perlu diingat larangan membawa dan menggunakan telefon bimbit masih berkuat kuasa pada peringkat sekolah.

Kesimpulan

Kesimpulannya, pembelajaran berasaskan masalah ini perlu disusun sesuai dengan kurikulum pembelajaran di sekolah yang dicadangkan di sekolah perlu diwujudkan satu jawatankuasa pendekatan pembelajaran yang diselia Guru Penolong Kanan Akademik atau yang setara dengannya.

Justeru, perlu diadakan sesi penerangan atau kursus jangka pendek dan menyelia kajian tindakan permasalahan pelaksanaan pembelajaran berasaskan masalah di sekolah dalam kalangan guru dan pelajar supaya ia lebih berkesan pelaksanaannya.

Jadikan pembelajaran berasaskan masalah elemen penting dalam pembelajaran dalam era normal baharu.

Zulkifli Ab Latiff,

Ayer Baloi, Pontian

We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon