Thursday, 13 August 2020

Asrama sekolah hangus dijilat api


KAPIT: Sepuluh pelajar lelaki Sekolah Kebangsaan Ulu Yong, di sini, menempuh detik mencemaskan apabila asrama kediaman mereka musnah dalam kebakaran, malam tadi.

Sebuah kuaters kediaman guru yang terletak berdekatan turut musnah dalam kebakaran, jam 11.30 malam itu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu, pada jam 11.39 malam.

Beliau berkata, 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit diketuai Penolong Penguasa Bomba Erwandy Tugor bergegas ke lokasi yang terletak 22 kilometer dari balai itu.

"Setibanya di lokasi, didapati api sudah memusnahkan satu blok asrama dan sebuah kediaman guru manakala dua lagi kuaters guru hanya terletak kira-kira tiga meter dari asrama yang terbakar itu berjaya diselamatkan," katanya.

Difahamkan, semua murid berusia antara tujuh hingga 12 tahun itu berjaya menyelamatkan diri keluar dari bangunan yang terbakar sebaik menyedari kejadian itu.

Katanya, operasi pemadaman tamat pada jam 2.40 pagi dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengenal pasti punca kejadian itu.

Kejadian itu adalah yang kedua membabitkan asrama sekolah di negeri ini, bulan ini.

Pada 5 Ogos lalu, satu blok dua tingkat asrama lelaki Sekolah Kebangsaan Sebauh di Bintulu musnah dalam kebakaran yang berlaku jam 7 pagi.



We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon