Saturday, 22 August 2020

Kriteria Pemilihan Pelajar ke SBP 2021

Kuala Lumpur: Pencapaian dari awal persekolahan dan prestasi sejak sekolah dibuka semula selepas ditutup akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dijangka menjadi kriteria utama penilaian kemasukan murid Tahun Enam dan Tingkatan Tiga ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) sesi 2021.


Kaedah pengambilan murid ke SBP untuk tahun depan tidak lagi menggunakan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) sebagai asas utama berikutan pembatalan kedua-dua peperiksaan itu apabila sekolah ditutup susulan PKP yang berkuatkuasa 18 Mac lalu.


Berita Harian melaporkan, bagi pemilihan murid Tahun Enam ke SBP sesi 2021, penilaian akan dibuat berdasarkan prestasi mereka sejak memulakan persekolahan Tahun Satu, manakala bagi murid Tingkatan Tiga pula, penilaian adalah sejak mereka di Tingkatan Satu.


Selepas melepasi penilaian awal, calon murid ke SBP difahamkan perlu mengambil satu ujian khas secara dalam talian sebelum mengikuti satu program khusus, antara lain bagi menguji daya kendiri, keyakinan dan keberanian serta aspek kepimpinan.


Kriteria tambahan adalah memberi keutamaan kepada murid daripada golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan mereka yang tinggal di luar bandar atau kawasan pedalaman.


Pada 15 April yang lalu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan UPSR dan PT3 bagi tahun ini dibatalkan, tetapi tidak akan menjejaskan penilaian tahap penguasaan murid bagi kemasukan ke SBP, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), dan Maktab Tentera Dirahja (MTD).


Pembatalan UPSR dan PT3 berikutan pelaksanaan PKP berkuatkuasa 18 Mac bagi mengekang penularan COVID-19 yang turut menyaksikan sekolah ditutup. Pembukaan semula sekolah kemudian dilakukan secara berperingkat bermula 24 Jun untuk kelas peperiksaan awam, disusuli murid kelas lain pada 15 dan 22 Julai.


Sementara itu, Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin ketika ditanya mengenai kriteria penilaian kemasukan murid Tahun Enam dan Tingkatan Tiga bagi sesi 2021, berkata ia akan diumumkan dalam tempoh terdekat.


Ketika ditemui pada sidang media di pejabatnya di sini, baru-baru ini, beliau hanya memberi bayangan penilaian prestasi murid termasuk untuk kemasukan ke SBP, sebenarnya sudah bermula sejak hari pertama mereka menjejakkan kaki di sekolah.


"Ketika saya umum pebatalan UPSR dan PT3 tahun ini, memang kita ada kaedah yang sudah dilaksanakan. Ia dapat dilaksanakan dengan baik sepanjang tempoh ini. Sejak dia masuk Tahun Satu pun sudah dinilai perkembangannya pun sudah kita ikut, kita sudah lihat rekodnya dan sudah ada banyak maklumat kita boleh rujuk.


"Selepas sekolah dibuka semula pun, ada proses penilaian. Itu (penilaian) boleh diadakan dalam bilik darjah. Pentaksiran ke asrama penuh bagi murid Tahun Enam dan Tingkatan Tiga, kita akan maklum dalam masa terdekat," katanya.


Untuk penilaian murid, selain Tahun Enam dan Tingkatan Tiga, beliau berkata, Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) akan terus digunakan dan sehingga kini, pihak sekolah tidak berdepan masalah menilai prestasi murid menggunakan kaedah berkenaan.


Dalam pada itu, Radzi berkata, kementerian juga sedang menilai keberkesanan pemansuhan sistem peperiksaan yang diputuskan bermula tahun lalu untuk murid Tahap Satu yang merangkumi Tahun Satu hingga Tahun Tiga.


"Ini perkara sedang diteliti secara menyuluruh. Secara prinsipnya, apabilasaya lihat sistem pendidikan di Australia dan kembali ke tanah air, (murid) Tahun Satu, Dua sudah pergi tusyen, ambil peperiksaan dan sebagainya. Ini satu keadaan yang tidak kondusif untuk perkembangan anak-anak.


"Pada umur terlalu muda ini adalah ruang untuk mereka membina karakter, kita tak boleh terus menekan mereka dengan peperiksaan. Sebab itu perkara ini saya sedang lihat secara menyeluruh. Dalam usia sebegini, kita lihat minat mereka dalam konteks enrolmen dalam sains dan teknologi semakin tahun semakin kurang," katanya.


Beliau berkata, keadaan itu berbeza dengan sistem pendidikan di negara maju yang mana sains dan teknologi dilihat sebagai subjek diberi penekanan kerana ia berupaya memacu ekonomi masa depan.


"Dunia melihat kepakaran dalam sains dan teknologi untuk memacu ekonomi pada masa depan, tetapi enrolmen (murid) kita berkurang. Untuk membentuk generasi ke arah itu, mesti mula dari awal, lihat semua sistem untuk melihat kaedah terabik. Namun, apa-apa sedang dilaksanakan dan bawa kebaikan, kata akan teruskan," katanya.

Sumber: Berita Harian

We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon