Wednesday, 26 August 2020

Pengasingan murid perlu dilihat daripada aspek positif - NUTP

Imej hiasan

KUALA LUMPUR: Pengasingan pelajar mengikut prestasi akademik di sekolah bertujuan memudahkan kaedah pengajaran dan pembelajaran oleh guru, bukan bertujuan mengabaikan pelajar yang lemah dan kurang cemerlang.


Malah, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) meletakkan pencapaian akademik keseluruhan pelajar sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang perlu dicapai.


Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang berkata, tanpa pengasigan, proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan sukar dilaksanakan.


"Majoriti guru sukar mengajar bagi meningkatkan pencapaian dalam akademik kerana tahap kognitif pelajar di dalam satu-satu kelas adalah berbeza lebih-lebih lagi dengan jumlah pelajar yang melebihi 30 orang," katanya ketika dihubungi Utisan Malaysia semalam.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin bahawa pelajar yang dikelompokkan dalam satu kelas hanya membawa konotasi negatif dan tidak harus diteruskan.


Sejak 2019, Datuk Dr. Amin Senin yang pada ketika itu merupakan Ketua Pengarah Pelajaran kekal dengan keputusan memansuhkan pengasingan kelas mengikut tahap penguasaan akademik di sekolah.


Ditanya sama ada pengasingan pelajar tetap berlaku selepas pemansuhan tersebut, Aminuddin berkata "ya" namun tidak mempunyai data rasmi berkaitan hal itu.


Bagaimanapun, katanya, pengasingan kelas perlu dilihat dari aspek positif.


"Ia lebih kepada membantu guru menentukan langkah pengajaran iaitu jika kelas depan daptlah (belajar) cepat sedikit, jika kelas sederhana, kaedah sederhana digunakan. Percampuran akan menyukarkan guru menentukan rentak penyampaian pelajaran," katanya.


Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Datuk Dr. Mohd Ali Hassan pula berkata, percampuran antara pelajar cemerlang dan lemah perlu dilakukan bagi menggalakan budaya saling bantu-memabantu.


"Pelajar sekolah ada sebab tertentu mereka tercorot dari segi akademik. Kita sepatutnya memberi mereak ruang dan peluang untuk membantu mereka sebaik mungkin,"katanya.


Beliau berkata, kaedah penggiliran antara guru yang mengajar di kelas cemerlang dan tercorot boleh dilaksanakan bagi membolehkan golongan pelajar lemah turut mendapat 'sentuhan' guru cemerlang.


"Kita jangan taksub dengan pencapaian akademik semata-mata untuk pelajar yang masih di peringkat awal persekolahan manakala pelajar yang kurang cemerlang pula diletakkan di kelas tercorot.


"Pelajar yang mempunya masalah pembelajaran jangan dipandangn serong dan sebaliknya perlu diberikan dorongan agar mereka cepat belajar," katanya.


Sumber: Utusan Malaysia



We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon