Wednesday, 26 August 2020

Tindakan pantas guru selamatkan 38 murid

TAWAU: Seramai 38 murid termasuk empat guru wanita Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Nurul Hannani di Jalan Tengku Osman, dekat sini, berdepan detik cemas apabila bangunan sekolah mereka terbakar sepenuhnya jam 2 petang tadi.


Bagaimanapun, tindakan pantas empat guru yang ketika itu baru memulakan sesi pembelajaran sebelah petang berjaya menyelamatkan kesemua 18 murid lelaki dan 20 murid perempuan yang berumur antara lima hingga enam tahun.


Guru PASTI, Sumaiyah Cambo, 50, berkata dia pada mulanya terhidu bau asap sebelum melihat percikan api di sebuah kelas di tingkat atas bangunan papan yang menempatkan empat kelas itu.


"Sebaik sahaja melihat api mula merebak, saya meminta tiga lagi rakan guru segera membawa keluar murid di kelas masing-masing ke tempat selamat.


"Mujur kami semua sempat keluar dengan selamat walaupun banyak buku-buku teks dan alat bantu mengajar gagal diselamatkan," katanya di sini.


Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, berkata sepasukan 15 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan pada jam 2.06 petang.


"Setiba di lokasi kebakaran sebuah bangunan separuh kekal terbakar 90 peratus sebelum operasi memadam kebakaran dijalankan.


"Api berjaya dikawal setengah jam kemudian sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 4.30 petang, manakala punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon