Friday, 14 August 2020

Video tular, lima murid ditahan bergaduh

RANAU: Lima pelajar termasuk seorang pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di sini, ditahan polis malam tadi selepas tular klip video memaparkan pergaduhan antara mereka di media sosial, dipercayai berpunca daripada tindakan mengejek antara satu sama lain.


Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Sammy Newton, berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang pelajar lelaki pada 10.40 malam tadi berhubung pergaduhan dan penularan klip video itu.


Susulan laporan itu, polis menahan semua pelajar berusia 16 tahun terbabit termasuk pelajar perempuan yang dipercayai merakam kejadian untuk membantu siasatan.


Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan sekiranya disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara hingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.


"Kita minta masyarakat agar memadam serta menghentikan penyebaran video berkenaan," katanya.


Sejak jam 3 petang semalam, tular video di media sosial memaparkan seorang pelajar lelaki dibelasah beberapa individu di kawasan hentian bas di luar sekolah menengah itu.


Video berdurasi 15 saat yang dipercayai dirakam pelajar perempuan itu turut memaparkan beberapa pelajar lelaki yang menyaksikan pergaduhan itu kemudiannya campur tangan.

We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon