Monday, 3 August 2020

Waris di Napoh bimbang, tidak benarkan anak ke sekolah

JITRA – Sebahagian waris di Napoh dekat sini mengambil tindakan awal dengan tidak membenarkan anak mereka hadir ke sekolah selepas mengetahui tentang penularan Covid-19 bagi kluster PUI Sivagangga pada 28 Julai lalu.

Penduduk Kampung Kubang Betong di Napoh, Rokiah Awang, 54, berkata, dua anak perempuannya bersekolah di tingkatan dua dan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hosba.

“Saya bimbang dengan penularan Covid-19 ini, jadi saya nasihatkan dua anak saya iaitu Siti Aisyah Nasir, 14, dan Nurul Najwa, 16, itu bercuti lebih awal,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Napoh dekat sini hari ini.

Katanya, dia bersetuju dengan penutupan SMK Hosba selama 28 hari itu bagi mengelakkan wabak tersebut menjangkiti lebih ramai penduduk.

“Saya melarang anak-anak daripada keluar dari rumah, kecuali untuk urusan yang penting sahaja,” ujarnya.

Seorang penghuni Taman Seri Hosba, Saiful Yusri, 43, berkata, dia juga menasihatkan anaknya yang belajar di SMK Hosba dan Sekolah Kebangsaan (SK) Hosba supaya mengambil cuti sekolah lebih awal.

“Bukannya apa, saya bimbang kerana sudah ada kluster di kawasan Napoh ini yang mana kedai nasi kandar itu terletak berhampiran dengan kawasan perumahan saya,” katanya.

Kosmo! hari ini melaporkan lima buah sekolah di Kedah diarahkan tutup selama 28 hari bermula hari ini hingga 29 Ogos ini susulan penularan Covid-19 bagi kluster PUI Sivagangga.

Sekolah yang terlibat dalam Mukim Hosba adalah SMK Hosba, SK Hosba, SMK Megat Dewa.

Di Mukim Padang Sanai pula, sekolah yang terlibat adalah SK Kubang Palas.

We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon