Monday, 7 September 2020

Anggota tentera maut selepas cuba bunuh diri



BATU PAHAT: Seorang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meninggal dunia semalam, selepas dipercayai cuba membunuh diri pada 29 Ogos lalu.


Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden Muhammad Izzudin Rungai, berkata sembilan hari lalu mangsa dipercayai cuba membunuh diri dengan terjun dari tingkat tiga bangunan kediaman di sebuah kem tentera di Batu Pahat.


"Susulan cubaan itu mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan dirawat di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).


"Pada 6 September (semalam), pihak polis dimaklumkan bahawa mangsa sudah meninggal dunia di Wad ICU hospital berkenaan pada jam 2.30 petang.


"Urusan bedah siasat akan dibuat hari ini bagi memastikan punca sebenar kematian mangsa," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.


Muhammad Izzudin berkata, siasatan pihak polis masih diteruskan daripada semua aspek untuk mengenal pasti punca mangsa mengambil tindakan demikian.


"Siasatan juga bagi mendapatkan kesahihan dakwaan anggota keluarga mangsa yang mendakwa dia berkemungkinan dibuli dan didera ketika di dalam kem sebelum kejadian," katanya.


Sementara itu, menurut sebuah akaun Facebook milik rakan mangsa mendakwa, lelaki itu tidak hadir bertugas selama enam bulan sebelum diarah kembali melapor diri di kem berkenaan pada 28 Ogos lalu oleh pegawai tentera yang berkunjung ke rumahnya di Ipoh, Perak.


"Sehari selepas itu kira kira 3 pagi, mangsa dimasukkan ke HSNI dalam keadaan koma dan cedera parah akibat jatuh daripada bangunan tingkat tiga di kem berkenaan kira-kira 12 tengah malam.


"Hari ini, (semalam) kira-kira 2.30 petang kami menerima berita dari ahli keluarga beliau, arwah pergi meninggalkan kami.


"Kami sahabat beliau dan keluarga harap pihak berkuasa yang berwajib dapat menyiasat kes ini dengan seadil-adilnya tanpa kompromi dengan mana-mana pihak," katanya.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon