Sunday, 27 September 2020

CUEPACS pohon bonus dalam bentuk gaji bulanan penjawat awam

GEORGETOWN: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon kerajaan supaya mempertimbangkan pemberian bonus dalam bentuk gaji bulanan dan tidak lagi secara bantuan khas kewangan seperti yang diberikan pada tahun sebelumnya menjelang pembentangan Belanjawan 2021.


Presiden CUEPACS, Adnan Mat, berkata pihaknya sudah dihubungi Kementerian Kewangan untuk mengadakan perbincangan bagi mengetahui apa kehendak serta keperluan yang diperlukan 1.2 juta penjawat awam pada ketika ini.


Berikutan itu, pihaknya akan berbincang dalam tempoh terdekat mengenai kemahuan penjawat awam supaya pemberian bonus ditetapkan dalam bentuk gaji bulanan dan bukan bantuan khas kewangan sebanyak RM500.


"Pada setiap tahun secara tradisinya penjawat awam akan memohon bonus kepada kerajaan.


"Sebagai penjawat awam kami sudah melaksanakan tugas dengan baik walaupun ketika kerajaan berubah dan pandemik COVID-19 melanda negara.


"Justeru, tidak ada sebab kerajaan tidak melihat penjawat awam dan menimbang pemberian bonus," katanya pada sidang media selepas Majlis Penghargaan kepada Petugas Barisan Hadapan di sini, hari ini.


Jelasnya, pada tahun sebelumnya CUEPACS memohon pemberian bonus diberikan secara tiga bulan gaji namun kerajaan tetap memberikan bantuan khas kewangan RM500.


"Oleh itu, pada tahun ini kami tidak mahu lagi menyebut berapa bulan gaji dan akan pergi berbincang dengan kementerian kewangan dalam tempoh masa terdekat untuk fokus Belanjawan 2021.


"Adalah amat tidak adil jika kerajaan mengulangi lagi pemberian bantuan khas kewangan RM500 apabila penjawat awam sudah melaksanakan tugas-tugas dengan sebaiknya. Kami juga berharap keluarkan perkataan bonus dan bukannya lagi bantuan khas kewangan seperti lazimnya," katanya.


Sementara itu, Adnan berkata, CUEPACS juga berharap kakitangan kontrak yang bertugas di Kementerian Kesihatan dapat diserap ke jawatan tetap memandangkan lebih 10,000 waran jawatan tetap diwujudkan untuk keperluan kementerian berkenaan.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon