Sunday, 20 September 2020

Gambar pakai tanjak dalam MyKad belum dibenarkan



KUALA TERENGGANU: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan mengkaji kewajaran pemakaian tanjak untuk gambar kad pengenalan (MyKad).


Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh, berkata JPN belum membenarkan pemakaian tanjak yang dikatakan sebahagian daripada pakaian tradisional seperti songkok dan kopiah yang dibolehkan dalam gambar MyKad ketika ini.


"Kita perlu tengok dulu daripada segi arahan semasa yang kita keluarkan, sama ada boleh atau tidak untuk dilaksanakan. Bagi masa untuk kita lihat.


"Ini berbeza dengan pemakaian songkok dan kopiah yang sudah lama kita laksanakan. Terdapat kes pelanggan kita datang sendiri ke pejabat kita dengan bersongkok, Itu amalan lama yang kita laksanakan.


"Tetapi tanjak masih belum ada kajian atau perkara yang membuatkan kita nak laksanakan. Kita akan tengok dulu macam mana," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kemudahan ePayment dan Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Ibu Pejabat JPN Terengganu, di sini hari ini.


Turut hadir, Pengarah Bahagian Kad Pengenalan JPN, Badrul Hisham Alias; Pengarah JPN Terengganu, Mohamad Nasir Kareem dan wakil Pengurus Maybank Kuala Terengganu, Ahmad Sabri Mohamad.


Sebelum ini, Persatuan Aktivis Busana Melayu (ABM) mencadangkan kerajaan mempertimbang pemakaian tanjak untuk gambar dalam MyKad.


Presidennya, Shahrul Fadzly Mohd Zainal, berkata tanjak sebahagian daripada pakaian tradisional yang sama taraf dengan songkok dan kopiah.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon