Tuesday, 15 September 2020

Guan Eng persoal Kabinet senyap isu hapus sekolah vernakular

PETALING JAYA: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menggesa Kabinet mengarahkan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal meminta maaf dan menarik balik kenyataannya supaya sekolah vernakular dihapuskan secara berperingkat.


Dalam kenyataan hari ini Lim berkata, amat “membimbangkan” kerana tiada seorang anggota Kabinet mengambil pendirian tegas untuk menolak kenyataan yang beliau sifatkan sebagai “retorik perkauman” itu.


Katanya, Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak) juga mengkritik gesaan menghapuskan sekolah vernakular itu dan berkata sekolah berkenaan tidak menghakis identiti negara.


Minggu lalu, Setiausaha Agung Gerak Rosli Mahat berkata, bahasa pengantar sekolah vernakular tidak menjejaskan semangat patriotik.


Ia susulan kenyataan ketua Pemuda PPBM itu, sekolah vernakular tidak melahirkan pelajar dengan “identiti kebangsaan yang kuat”.


Lim berkata, sekolah vernakular sudah beroperasi dengan baik sebelum kemerdekaan dan kewujudannya tidak pernah dipersoalkan sebagai tidak berperlembagaan.


“Sebaliknya, seorang ahli Parlimen yang menggesa penghapusan sekolah vernakular ketika ucapan beliau dalam Parlimen, telah dituduh dan disabit kesalahan hasutan pada 1980,” katanya merujuk kepada bekas ahli Parlimen Kinabalu Mark Koding.


“Retorik rasis dan pemikiran melampau dalam agama hanya akan memecah belahkan rakyat dan negara ini, walaupun ia sudah mencapai kemerdekaan selama 63 tahun.”


Beliau berkata, Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan secara jelas menyatakan walaupun Bahasa Malaysia merupakan bahasa kebangsaan, warga Malaysia juga diizinkan mengguna, belajar atau mengajar bahasa lain.


“Perikatan Nasional sepatutnya meletak agenda penyatuan kembali ke landasan dengan menghormati amalan berperlembagaan sedia ada sejak 1957 dan Kabinet patut memimpin ke arah perpaduan nasional dengan meminta timbalan menteri tersebut meminta maaf dan menarik balik gesaan menghapuskan sekolah vernakular,” katanya.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon